KOTA KINABALU : Tuntutan 40 peratus hasil Sabah adalah hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya satu bentuk ihsan daripada Kerajaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud menegaskan perkara itu bagi menjelaskan kenyataan yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming berhubung isu berkenaan.
Beliau berkata, kedudukan tuntutan tersebut tidak pernah dipertikaikan dan pelaksanaannya kini sedang berjalan secara berterusan melalui pelbagai platform rasmi, selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Usaha melaksanakan perkara di bawah Perjanjian Malaysia 1963 termasuk tuntutan 40 peratus hasil Sabah sedang dilaksanakan secara berperingkat tetapi konsisten,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini.
Beliau berkata, di peringkat Persekutuan, Kerajaan MADANI telah memperkukuh mekanisme pelaksanaan melalui penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri, serta Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri.
Setakat ini, jelasnya, sebanyak 13 daripada 29 perkara di bawah MA63 telah berjaya diselesaikan, mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pelaksanaan perjanjian itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata rundingan khusus berkaitan tuntutan 40 peratus hasil Sabah kini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Perbendaharaan.
Katanya, rundingan itu memberi tumpuan kepada pemuktamadan formula pengiraan berdasarkan hasil bersih Persekutuan dari Sabah selaras Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan, selain penyelarasan serta pengesahan data hasil bersama agensi utama seperti LHDN dan Jabatan Kastam.
“Turut diberi perhatian ialah isu ‘lost years’, iaitu tempoh bayaran yang belum diselesaikan sejak sekian lama, serta perbincangan mekanisme pelaksanaan secara berfasa bagi memastikan pembayaran dapat dibuat secara teratur dan berterusan,” katanya.
Tambah beliau, beberapa siri mesyuarat penyelarasan telah diadakan bersama Kerajaan Negeri Sabah termasuk melibatkan Menteri Kewangan negeri dan pegawai kanan Perbendaharaan Malaysia bagi memperincikan hala tuju serta mempercepat proses pemuktamadan.
Menurutnya, pertukaran data antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah bagi tempoh 2007 hingga 2025 juga telah dilaksanakan, sekali gus memberikan asas kefahaman lebih jelas terhadap angka serta kaedah pengiraan.
Dalam pada itu, kerajaan turut meningkatkan ketelusan melalui pembangunan Dashboard Status Pelaksanaan MA63, dengan Fasa 1 telah dilaksanakan manakala Fasa 2 sedang dibangunkan bagi memperluas fungsi termasuk integrasi data dan pemantauan masa nyata.
Beliau menegaskan, rundingan berkaitan perkara itu bukan berada dalam keadaan statik, sebaliknya bergerak ke hadapan secara berstruktur dan berpaksikan fakta serta peruntukan Perlembagaan.
“Keutamaan kita adalah memastikan Sabah menerima haknya secara berkesan, bukan sekadar menjadi polemik politik,” katanya.
Mengulas pembayaran interim, beliau berkata ia hanyalah penyelesaian sementara sehingga penyelesaian muktamad dicapai dengan persetujuan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
Menurutnya, usaha meningkatkan nilai pembayaran interim adalah wajar bagi memacu pembangunan infrastruktur serta kesejahteraan rakyat Sabah.



