HomeUtamaTVET perlu selari keperluan industri, tingkat kebolehpasaran graduan

TVET perlu selari keperluan industri, tingkat kebolehpasaran graduan

Read Time:1 Minute, 13 Second

SANDAKAN : Pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) perlu diselaraskan dengan keperluan industri bagi memastikan graduan mempunyai peluang pekerjaan sebaik menamatkan pengajian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, pendekatan itu penting agar pelajar TVET tidak hanya memperoleh kemahiran, tetapi turut jelas dengan hala tuju kerjaya mereka.

“Ini adalah tujuan sebenar apabila saya membangkitkan isu TVET pada Sidang Dewan Undangan Negeri sebelum ini, iaitu memastikan latihan yang diberikan benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja,” katanya kepada media, di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan kursus transformasi teknologi tanaman cili fertigasi sebagai sebahagian usaha memperkukuh kemahiran dalam sektor pertanian moden.

Menurutnya, kursus TVET perlu mengambil kira perubahan industri termasuk aspek pemodenan pertanian bagi memastikan graduan kekal relevan dan berdaya saing.

“Kita mahu mereka bukan sahaja tamat pengajian, tetapi tahu ke mana hala tuju mereka dan mempunyai peluang pekerjaan yang jelas,” katanya.

Mengulas isu lain, beliau berkata amalan perdagangan barter (barter trade) bukan sesuatu yang asing di Sandakan dan berpotensi untuk diperkembangkan sebagai pemangkin ekonomi tempatan.

Katanya, perkara itu turut dibangkitkan pada Sidang DUN lalu bagi membolehkan kerajaan meneliti potensi sebenar sektor berkenaan.

“Jika dikembangkan dengan lebih sistematik, barter trade mampu merancakkan ekonomi daerah dan seterusnya menarik minat pelabur ke Sandakan,” katanya.

Beliau menambah, meskipun aktiviti tersebut masih dijalankan ketika ini, ia hanya berlaku dalam skala kecil dan memerlukan sokongan dasar serta kajian lanjut bagi memperluas impaknya.

“Apabila ekonomi berkembang, ia akan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah perkasa modal insan, fokus generasi muda luar bandar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular