KOTA KINABALU: Sabah Law Society (SLS) mengalu-alukan dan memuji tindakan tegas Kerajaan Negeri Sabah menangguhkan pelaksanaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
Presidennya, Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata Kabinet Negeri telah menunjukkan tahap penelitian undang undang yang tinggi dalam melindungi jaminan perlembagaan yang diperuntukkan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurutnya, SLS bersetuju dengan penilaian Kerajaan Negeri bahawa akta tersebut, dalam bentuk sedia ada, menimbulkan kerumitan perundangan yang signifikan berkaitan autonomi Sabah.
“Ketua Menteri dengan tepat mengenal pasti sifat rumit Seksyen 6(3). Dengan menetapkan bahawa agensi baharu itu hanya boleh mematuhi arahan negeri melalui Pengarah Imigresen, undang undang tersebut mewujudkan ketidakselarasan statutori.
“Jika agensi itu bertujuan mengambil alih peranan barisan hadapan Jabatan Imigresen, rantaian perintah secara tidak langsung ini gagal memberikan kepastian undang undang yang diperlukan bagi penguatkuasaan yang berkesan.
“SLS menegaskan bahawa bagi memastikan status “Undang Undang Khas” Sabah di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 benar benar bermakna, kuasa arahan pihak berkuasa negeri mesti bersifat langsung, jelas dan mempunyai kepastian dari sudut undang undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazim berkata, Kerajaan Negeri telah bertindak secara berhati hati dengan membangkitkan ketidakselarasan statutori antara akta baharu tersebut dan Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
“Akta 155 merupakan “Undang Undang Khas” yang menjadi sebahagian daripada kerangka perlembagaan Sabah. Sebarang usaha Persekutuan untuk memusatkan penguatkuasaan sempadan mesti diselaraskan sepenuhnya dengan perlindungan sedia ada ini.
“Sekiranya ia diteruskan tanpa penyelarasan sedemikian, pegawai barisan hadapan yang melaksanakan undang undang tersebut akan terdedah kepada cabaran perundangan berkaitan bidang kuasa dan autoriti, selain risiko undang undang yang tidak perlu,” katanya.
Tambahnya, ketegasan Kerajaan Negeri dalam menuntut kejelasan undang undang berbanding sekadar jaminan lisan merupakan satu penegasan penting terhadap prinsip Kedaulatan Undang Undang di Sabah.
“Ia mengukuhkan prinsip asas bahawa perlindungan perlembagaan adalah hak statutori yang mesti diterjemahkan secara jelas dalam perundangan dan bukannya bergantung kepada budi bicara pentadbiran,” katanya.
Menurut SLS, penangguhan tersebut bukan sekadar isu kemudahan pentadbiran, sebaliknya satu keperluan perlembagaan bagi mengelakkan ketidaktentuan dari segi perlembagaan dan operasi.
“Kini menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk memastikan sebarang kerangka pengurusan sempadan berpusat yang dicadangkan benar benar tertakluk kepada perlindungan perlembagaan yang diberikan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“SLS menegaskan bahawa kesahihan mana mana model pengurusan sempadan pada masa depan bergantung kepada penyelarasan mutlak dengan autonomi perlembagaan Sabah. Kecekapan operasi tidak seharusnya mengatasi perlindungan perlembagaan,” katanya.
Nazim berkata, SLS bersedia menawarkan kepakaran perundangannya sepanjang tempoh penangguhan ini.
“Kami bersedia membantu dalam pelaksanaan audit perundangan menyeluruh serta penggubalan protokol operasi yang kukuh.
“Objektif kami adalah memastikan sebarang kerangka sempadan pada masa hadapan bukan sahaja cekap, tetapi juga kukuh dari sudut perlembagaan dan benar benar menghormati semangat asal perlembagaan tahun 1963.
“Kerajaan Negeri telah mengambil pendirian berprinsip dan kukuh dari segi undang undang dalam mempertahankan hak Sabah. SLS akan terus memberikan penelitian perundangan yang diperlukan bagi memastikan hak tersebut terus dilindungi dan diutamakan,” katanya.



