HomeUtamaGuru pendidikan khas dari Sabah terima Anugerah Khas Menteri Pendidikan

Guru pendidikan khas dari Sabah terima Anugerah Khas Menteri Pendidikan

Read Time:1 Minute, 10 Second

PERAK: Anak jati Sabah, Dr Velerie Wheelervon Primus atau lebih dikenali sebagai Dr Vonn mengharumkan nama negeri apabila menerima Anugerah Khas Menteri Pendidikan Malaysia sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2026 di Perak baru-baru ini.

Guru pendidikan khas dari Sekolah Kebangsaan Bingkor, Keningau itu menerima pengiktirafan berprestij berkenaan atas sumbangan serta impaknya dalam memperkasakan dunia pendidikan khas dan pendidikan inklusif di negara ini.

Sambutan Hari Guru tahun ini yang bertemakan “Guru Bitara, Nadi Negara” menghimpunkan pendidik dari seluruh negara bagi meraikan jasa dan pengorbanan guru dalam membentuk masa depan generasi Malaysia.

Dr Vonn dikenali aktif memperjuangkan advokasi pendidikan inklusif serta pembangunan murid neurodivergent menerusi pendekatan pembelajaran berasaskan kasih sayang, regulasi emosi dan inovasi pendidikan khas khususnya di kawasan luar bandar Sabah.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut bukan hanya milik dirinya semata-mata, sebaliknya untuk semua guru yang sentiasa berusaha mendidik anak bangsa dengan penuh kesabaran dan dedikasi.

“Saya sangat bersyukur dan terharu menerima penghargaan ini. Namun bagi saya, hadiah paling besar adalah apabila melihat anak-anak murid berjaya dan percaya bahawa mereka juga mampu bersinar seperti orang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa menyokong perjuangannya dalam memperkasakan pendidikan khas dan membina sistem pendidikan yang lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat.

Kejayaan itu sekali gus membuktikan pendidik dari Sabah juga mampu berdiri cemerlang di peringkat kebangsaan dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai guru di seluruh negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Lelaki diperintah bela diri amang seksual remaja bawah umur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular