HomeUtama223 fleet card disekat, KPDN perkukuh penguatkuasaan subsidi diesel

223 fleet card disekat, KPDN perkukuh penguatkuasaan subsidi diesel

Read Time:1 Minute, 16 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 223 fleet card di bawah pelaksanaan Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) disekat sejak 2023 hingga 14 Mei lalu susulan penyalahgunaan subsidi diesel dan petrol.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan kini memperkukuh aspek kawalan dan penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyelewengan subsidi bahan api melalui penggunaan fleet card.

Menurut beliau, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka cadangan penggubalan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi memperkemas pengawalseliaan penggunaan fleet card.

“Cadangan ini melibatkan aspek tanggungjawab pemegang fleet card, syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

“Tindakan ini diambil susulan wujud modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel serta petrol melalui penyalahgunaan fleet card,” katanya dalam sidang media di sini, pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Armizan berkata kerajaan akan memperluaskan pelaksanaan SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan bermula tahun ini.

Katanya, fasa awal peluasan itu melibatkan permohonan pendaftaran syarikat pengangkutan darat barangan yang dibuka sejak 4 Mei lalu.

Beliau berkata, syarikat yang layak boleh membuat permohonan melalui portal MySubsidi bagi mendapatkan manfaat subsidi diesel di bawah skim berkenaan.

“Di bawah pelaksanaan semasa, sebanyak 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan layak menikmati subsidi diesel menerusi SKDS.

“Kadar subsidi semasa bagi sektor pengangkutan darat barangan ialah RM2.15 seliter,” katanya.

Armizan menegaskan KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di lapangan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyeleweng subsidi bahan api kerajaan.

RELATED ARTICLES
Utama

KBBM jadi platform perluas pasaran produk tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular