Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah mengadu mengenai kes buli, gangguan rakan asrama dan aduan yang didakwa tidak dipercayai warden sebelum kejadian yang meragut nyawanya, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Perkara itu dinyatakan oleh saksi ke-71 yang merupakan kakak ipar kepada ibu arwah, Nur Shira Abdullah, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Menurut Nur Shira, Zara ada bercerita mengenai keadaan di sekolah asrama baharunya semasa cuti Hari Raya tahun lalu termasuk kes buli, pelajar yang suka bergaduh, gangguan daripada rakan-rakan, mesyuarat asrama, aduan yang tidak dipercayai oleh warden serta kisah-kisah seram di asrama.
Beliau berkata, Zara juga memaklumkan pernah diganggu oleh seorang pelajar berperwatakan tomboy ketika sedang tidur berdasarkan cerita rakan sebiliknya.
“Semasa Zara menceritakan perkara tersebut kepada kami, anak saya secara tidak sengaja telah merakam penceritaan Zara tersebut,” katanya ketika membaca pernyataan saksi beliau.
Nur Shira turut memberitahu mahkamah bahawa Zara pernah disuruh turun ke tingkat bawah asrama sekitar jam satu atau dua pagi untuk mengambil air kerana penapis air berada di tingkat bawah sedangkan Zara tinggal di tingkat tiga.
Katanya, Zara juga pernah memaklumkan wang miliknya hilang dan dipercayai dicuri.
“Perkara-perkara yang diceritakan oleh Zara adalah berkaitan sekolah dan rakan-rakan, bukan berkaitan keluarga. Zara tidak pernah menyatakan bahawa beliau tidak disayangi oleh ibunya atau takut kepada ibunya,” katanya.
Menurutnya, pada pemerhatiannya, Zara berkongsi perkara itu sebagai sesuatu yang tidak selesa namun masih mampu bercerita seperti biasa.
Beliau berkata, dia menyarankan supaya Zara memaklumkan perkara itu kepada ibunya dan melaporkannya kepada warden.
“Zara memaklumkan bahawa beliau pernah membuat aduan kepada warden namun aduannya tidak dipercayai. Saya juga memaklumkan perkara tersebut kepada Ibu Zara dan beliau menyatakan akan cuba berbincang dengan Zara,” katanya.
Zara, 13, ditemui tidak sedarkarkan diri di tingkat bawah asramanya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia keesokan pagi di Hospital Queen Elizabeth.
Mayatnya kemudian digali semula pada 9 Ogos 2025 dan bedah siasat dijalankan pada 10 Ogos di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth.
Pada 20 Ogos 2025, lima remaja bawah umur yang diberikan iaitu Pelajar A, B, C, D dan E didakwa kerana mencela Zara.



