HomeUtamaKundasang berpotensi jadi hab pengeluaran bawang merah negara

Kundasang berpotensi jadi hab pengeluaran bawang merah negara

Read Time:1 Minute, 53 Second

KUNDASANG: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara menerusi pembangunan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI di Kundasang yang berpotensi menjadi antara hab pengeluaran bawang merah strategik negara menjelang 2030.

Komitmen itu dizahirkan menerusi lawatan kerja Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin ke projek berkenaan di Kampung Mesilou bagi meninjau perkembangan pelaksanaan pengeluaran benih bawang merah bersama usahawan tani bimbingan MARDI.

Lawatan itu sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan memperkasa industri bawang merah tempatan melalui penghasilan benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti serta pengurangan kebergantungan terhadap import bawang.

Dalam kenyataan media hari ini, Chan berkata beliau turut diberikan taklimat mengenai kemajuan projek termasuk penggunaan varieti bawang merah MARDI iaitu BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 yang dibangunkan khusus untuk menyokong pengeluaran bawang tempatan secara lebih mampan dan kompetitif.

Beliau turut melawat kawasan tanaman bawang serta Rumah Pengeringan dan Penyimpanan Benih Bawang Merah yang dibangunkan MARDI sebagai infrastruktur sokongan bagi memastikan pengeluaran benih dapat dilaksanakan secara konsisten dan memenuhi standard kualiti ditetapkan.

Kemudahan bernilai RM523,000 itu berfungsi sebagai pusat pengendalian, pengeringan dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Inisiatif itu selaras dengan sasaran kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang 2030 selain memastikan industri bawang negara terus relevan, mampan dan berdaya saing.

Projek pengeluaran benih bawang merah itu dilaksanakan bersama usahawan bimbingan MARDI, Shahrizal Denci yang mula terlibat dalam program berkenaan pada 2024.

Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan 20 metrik tan bawang merah di kawasan seluas lima ekar.

Seiring perkembangan projek, kawasan penanaman kini diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 metrik tan.

Pembangunan berskala besar itu dijangka mampu meningkatkan bekalan bawang merah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bawang.

Selain memperkukuh pengeluaran benih tempatan, projek berkenaan turut menjadi model kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan dan komuniti tani dalam membangunkan ekosistem industri bawang merah yang lebih moden, berdaya tahan dan bernilai tinggi.

MARDI akan terus komited memperkasa pembangunan teknologi pertanian, pemindahan inovasi serta sokongan teknikal kepada komuniti tani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan dan menyumbang kepada agenda sekuriti makanan negara.

Turut hadir dalam lawatan itu ialah Ketua Pengarah MARDI, Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

RELATED ARTICLES
Utama

60 murid sertai Program Khatan Perdana SK Lupak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular