HomeUtamaDua suspek curi kabel ditahan, cuba rempuh polis

Dua suspek curi kabel ditahan, cuba rempuh polis

Read Time:1 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Polis Daerah Kota Kinabalu berjaya menahan dua lelaki tempatan disyaki terlibat dalam kegiatan mencuri kabel telekomunikasi serta cuba merempuh anggota polis dalam kejadian di Jalan Tuaran berhampiran Jabatan Audit, awal pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.13 pagi itu, anggota polis bersama kakitangan Telekom Malaysia yang sedang menjalankan rondaan mengesan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah mainhole milik Telekom Malaysia.

“Hasil pemeriksaan mendapati beberapa individu sedang menjalankan kerja pemotongan kabel telekomunikasi di dalam mainhole berkenaan sebelum suspek melarikan diri menggunakan sebuah Toyota Hilux dan van Hiace sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Semasa cubaan meloloskan diri, pemandu Toyota Hilux dipercayai cuba merempuh anggota polis yang menghalang laluan kenderaan terbabit sehingga membahayakan keselamatan anggota bertugas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian berjaya menahan Toyota Hilux terbabit selepas kenderaan itu terbabas berhampiran Jalan Likas dekat stesen minyak Shell Likas.

Katanya, dua suspek berjaya diberkas manakala van Hiace yang turut terlibat masih berjaya melarikan diri dan sedang dikesan pihak polis.

“Turut dirampas dalam operasi itu ialah satu unit alat pemotong kabel yang dipercayai digunakan dalam kegiatan jenayah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kabel milik Telekom Malaysia telah dipotong namun belum sempat dibawa keluar dari lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau van Hiace yang melarikan diri diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu atau pegawai penyiasat, Inspektor Saiful Azri Ismail di talian 014-6115879.

Katanya, Polis Daerah Kota Kinabalu akan terus mempergiat operasi membanteras kegiatan curi kabel yang boleh menjejaskan sistem komunikasi awam serta keselamatan infrastruktur negara.

RELATED ARTICLES
Utama

Pengamal media Sandakan terima penghargaan sempena Aidiladha

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular