KOTA KINABALU: Program 80 Menu Sabahan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari RTM Ke-80 bukan sahaja mengetengahkan keunikan makanan tradisional negeri ini, malah menjadi platform penting dalam memelihara warisan budaya serta memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, inisiatif yang digerakkan RTM Sabah itu wajar dipuji kerana memberi impak besar terhadap usaha memartabatkan budaya tempatan.
“Program seperti ini bukan sahaja mengangkat keunikan makanan tradisional Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memelihara warisan budaya dan memperkukuh identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya ketika merasmikan program berkenaan di sini, pada Ahad.
Jamawi berkata, keistimewaan makanan tradisional Sabah terletak pada penggunaan sumber asli dan hasil bumi tempatan yang dekat dengan kehidupan masyarakat.
Katanya, banyak menu tradisional negeri ini menggunakan bahan seperti serai, kunyit, cili, pandan, ulam-ulaman, sayur kampung serta pelbagai herba tempatan yang ditanam sendiri di halaman rumah atau kebun dapur.
Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar festival makanan, sebaliknya turut membawa mesej penting mengenai kepentingan Inisiatif Kebun Dapur dalam kehidupan masyarakat masa kini.
“Amalan berkebun perlu terus digalakkan kerana mampu menyediakan sumber makanan segar dan sihat untuk keluarga selain membantu menjimatkan perbelanjaan harian.
“Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, amalan menanam sendiri bahan asas masakan di rumah adalah satu langkah yang sangat baik dan praktikal,” katanya.
Beliau berkata, banyak menu tradisional Sabah yang diketengahkan tidak akan lengkap tanpa bahan segar daripada kebun dapur, sekali gus menyerlahkan keunikan makanan warisan yang segar dan dekat dengan alam.
Katanya, sekiranya inisiatif kebun dapur terus diperkasakan khususnya dalam kalangan generasi muda, ia mampu membantu memelihara warisan makanan tradisional selain mendidik masyarakat mengenai kepentingan pertanian komuniti dan gaya hidup lestari.
Dalam pada itu, Jamawi berkata, RTM sebagai medium penyiaran utama negara telah memainkan peranan besar dalam menyatukan rakyat melalui maklumat, pendidikan dan hiburan selama lapan dekad.
“Penganjuran program berteraskan budaya dan komuniti seperti ini amat bertepatan dengan semangat Sambutan Hari RTM yang bukan sahaja meraikan sejarah penyiaran negara, tetapi juga mengangkat budaya, warisan dan gaya hidup masyarakat tempatan,” katanya.
Beliau turut melihat program itu sebagai platform terbaik dalam mempromosikan pelancongan gastronomi Sabah, khususnya sempena Tahun Melawat Sabah.
“Makanan tradisional bukan sekadar sajian, tetapi merupakan cerita tentang budaya, adat dan identiti masyarakat yang diwarisi turun-temurun,” katanya.
Jamawi berkata, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan sentiasa menyokong usaha seumpama itu dan berharap ia terus diperkasakan pada masa akan datang.
“Saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada RTM Sabah di bawah pimpinan Yusni dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha dan Pesta Kaamatan kepada semua yang meraikannya.
Turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam serta Pengarah RTM Sabah, Yusni Mohamad Ali.



