KUDAT: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mempergiat usaha pencegahan dadah di peringkat akar umbi menerusi pendekatan agresif ‘turun padang’ melalui kempen Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda sempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 di Pulau Banggi, pada Ahad.
Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh berkata, program itu dilaksanakan bagi memperkukuh sinergi bersama komuniti dengan memberi fokus kepada perlindungan institusi keluarga dan masyarakat kampung daripada ancaman dadah.
Menurutnya, pendekatan berkenaan merupakan anjakan paradigma dalam usaha pencegahan dadah negara yang kini tidak lagi tertumpu di peringkat atasan semata-mata, sebaliknya digerakkan secara terus kepada masyarakat.
“Kita menjalankan pendekatan turun padang secara langsung kepada komuniti, keluarga dan masyarakat kampung kerana kempen pencegahan dadah perlu benar-benar sampai ke peringkat bawah.
“Dengan adanya program pertama seumpamanya di Sabah ini, ia mampu membuka mata masyarakat agar lebih sedar terhadap bahaya dadah kepada diri, keluarga dan komuniti sekeliling,” katanya ketika ditemui selepas program itu di Pulau Banggi.
Terdahulu, majlis perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin.
Turut hadir Pengarah AADK Sabah, Puan Elmariah Chung; Penolong Pegawai Daerah Banggi, Jaslee Jaafar serta Pengerusi SKUAD Antidadah Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Manan.
Mengulas lanjut, Ruslin berkata, penglibatan aktif masyarakat menerusi program seumpama itu mampu meningkatkan kesedaran dan kepekaan komuniti terhadap ancaman dadah di persekitaran mereka.
Katanya, penganjuran program secara berterusan juga dapat mendorong masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan positif.
“Melalui program JABD, inisiatif ini direkayasa bukan hanya tertumpu kepada satu negeri, tetapi dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh negara,” katanya.



