KOTA KINABALU: Sebanyak 100 karya diterima daripada masyarakat Sabah menerusi Pertandingan Kreatif Tokoh Pemimpin Sabah (PKTPS) 2026 yang dianjurkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI).
Pengarah JPI DBKK, Fauziahton Ag. Samad berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan sejak pertandingan itu dibuka pada Februari lalu sehingga tarikh tutup penyertaan pada 11 April 2026.
Menurutnya, pertandingan tersebut dianjurkan bersempena memperingati tragedi Double Six yang genap 50 tahun pada tahun ini selain memberi ruang kepada masyarakat, khususnya generasi muda, untuk menzahirkan penghargaan terhadap tokoh-tokoh pemimpin Sabah menerusi karya kreatif.
“Pertandingan ini menerima sebanyak 100 karya penyertaan daripada masyarakat Sabah yang menunjukkan minat dan kesedaran terhadap sejarah serta tokoh pemimpin negeri ini.

“Ia bukan sahaja menjadi medium untuk mengenang peristiwa Double Six, malah membuka ruang kepada masyarakat untuk menghasilkan karya seni yang mempunyai nilai sejarah dan kreativiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Kreatif Potret Tokoh Pemimpin Sabah 2026 di Galeri Double Six, Sembulan, di sini, pada Sabtu.
Fauziahton berkata, pertandingan itu terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu Kategori A bagi pelajar sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun, Kategori B bagi pelajar sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun, manakala Kategori C melibatkan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), belia dan orang awam berusia 18 tahun ke atas.

Katanya, selain hadiah utama bagi setiap kategori, pihak penganjur turut menyediakan beberapa anugerah khas termasuk Anugerah Khas Inovasi Digital, Anugerah Ekspresi dan Jiwa Tokoh, Anugerah Interpretasi Terbaik, Anugerah Penghayatan Tokoh, Anugerah Teknik Terbaik serta Anugerah Pilihan Juri.
“Penganjuran ini juga bertujuan menjadikan Galeri Double Six sebagai platform pameran karya tempatan yang kreatif dan menarik, selain menggalakkan lebih ramai masyarakat menyertai aktiviti seni dan inovasi pada masa akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap pertandingan berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dengan membawa tema berbeza, sekali gus memperkukuhkan peranan galeri tersebut sebagai pusat rujukan sejarah dan seni kreatif masyarakat Sabah.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan upacara memperingati tragedi Double Six di Tugu Peringatan Double Six, Sembulan sebelum wakil Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceaser Mandela Malakun bersama Ketua Pengarah DBKK, Datuk Sr. Lifred Wong menyempurnakan lawatan ke Galeri Double Six dan penyampaian hadiah kepada pemenang PKTPS 2026.



