HomeSukanDevon Larratt lihat potensi Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan dunia

Devon Larratt lihat potensi Sabah sebagai destinasi pelancongan sukan dunia

Read Time:2 Minute, 9 Second

KOTA KINABALU: Atlet gusti lengan bertaraf dunia dari Kanada, Devon Larratt bersama isterinya, Jodi Larratt, berpeluang menikmati pelbagai tarikan pelancongan Sabah sempena kunjungan mereka ke negeri ini bagi menghadiri Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa East vs West.

Kejohanan berprestij itu mencipta sejarah apabila dianjurkan buat pertama kali di Malaysia dengan Sabah dipilih sebagai destinasi tuan rumah.

Pasangan berkenaan tiba di Kota Kinabalu pada Rabu lalu dan disambut Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Julinus Jeffery Jimit, dalam satu majlis makan malam tradisional Sabah di The Native Café, Hotel No.5.

Sepanjang berada di negeri ini, Devon dan Jodi dijadual melawat beberapa destinasi pelancongan utama termasuk Taman Kinabalu, Mari-Mari Cultural Village, pelayaran sungai di Klias, aktiviti melawat pulau serta Pasar Ahad Gaya Street.

STB turut mengatur program suai kenal khas bagi memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan Sabah kepada pasangan itu, merangkumi pengalaman alam semula jadi, hidupan liar, makanan tempatan dan tarikan budaya.

Program berkenaan juga bertujuan mempromosikan Sabah kepada atlet antarabangsa serta pengunjung yang hadir sempena kejohanan tersebut.

Pasangan Larratt dijadual menghadiri sesi bertemu peminat bersama penggiat dan atlet gusti lengan yang menyertai Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa East vs West pada 20 Jun serta Kejohanan Gusti Lengan Antarabangsa Sabah pada 21 Jun di Centre Point Sabah.

Berkongsi keterujaannya, Devon berkata kunjungan itu merupakan pengalaman pertamanya ke Sabah meskipun pernah mengunjungi Borneo sebanyak dua kali sebelum ini.

“Ini kali ketiga saya ke Borneo dan kali pertama saya berada di bahagian pulau ini. Saya teruja untuk melihat tahap bakat yang ada di sini serta bertemu atlet-atlet tempatan.

“Saya berharap kejohanan ini akan terus berkembang dan menjadi platform pertemuan tetap bagi atlet terbaik di rantau ini,” katanya.

Menurut beliau, acara sukan antarabangsa memainkan peranan penting dalam merancakkan pelancongan kerana ia menggabungkan pertandingan, penyertaan dan pertukaran budaya dalam satu destinasi.

“Acara sukan sentiasa menjadi sebab yang baik untuk orang ramai melancong. Selain pertandingan, pengunjung juga dapat menikmati makanan tempatan, mengenali masyarakat setempat dan meneroka destinasi yang dilawati.

“Gabungan ini menjadikan sesuatu destinasi lebih menarik dan sukar dilupakan,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa atlet lazimnya tertarik kepada destinasi yang menawarkan kemudahan sukan berkualiti serta pengalaman tempatan yang unik.

“Jika seseorang atlet boleh berlatih, bertanding, menikmati makanan yang baik dan meneroka tarikan tempatan di satu lokasi, ia sudah tentu menjadi nilai tambah yang besar.

“Daripada apa yang saya dengar, Sabah mempunyai potensi besar sebagai destinasi pelancongan sukan untuk gusti lengan dan pelbagai sukan lain,” katanya.

Kejohanan yang bakal berlangsung itu dijangka menghimpunkan lebih 150 peserta dari 13 negara iaitu Malaysia, Taiwan, Sweden, Filipina, Vietnam, Brunei, Rusia, China, Indonesia, India, Thailand, Korea Selatan dan Singapura.

RELATED ARTICLES
Utama

SEC rangka pelan pembangunan tenaga lima tahun untuk Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular