KOTA KINABALU: Sebanyak 13 rumah setinggan haram di kawasan belakang Alamesra, Likas dirobohkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jumaat lalu.
Operasi Perobohan Bersepadu Struktur Setinggan Haram itu dijalankan bagi menangani isu pencerobohan tanah kerajaan, pembinaan struktur haram dan pertumbuhan penempatan setinggan yang tidak terkawal di kawasan berkenaan.
DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi terbaru itu menjadikan jumlah keseluruhan struktur setinggan yang telah dirobohkan setakat 19 Jun lalu meningkat kepada 38 buah rumah.
“Sebanyak 112 buah struktur lagi dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya,” menurut kenyataan itu.
DBKK berkata, kawasan koloni setinggan di kawasan belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara kawasan pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai.
“Keadaan itu menimbulkan pelbagai risiko keselamatan, kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta ancaman kepada ekosistem bakau yang merupakan aset semula jadi penting bagi bandaraya Kota Kinabalu.
“Hasil bancian yang telah dijalankan oleh Bahagian Perobohan dan Struktur Haram mendapati sebanyak 101 buah rumah telah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas.
“Selain itu, DBKK turut mengenal pasti 150 buah struktur setinggan di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami oleh penghuni bukan warganegara,” katanya.

Menurut DBKK, selaras dengan prinsip keadilan dan pematuhan prosedur undang-undang, pihaknya telah mengeluarkan dan menyerahkan Notis Pengosongan, Pengalihan dan Perobohan kepada penghuni terlibat pada 13 April 2026, dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
Tempoh yang diberikan bertujuan memberi ruang yang mencukupi kepada penghuni untuk mengosongkan premis secara sukarela sebelum tindakan perobohan dijalankan.
Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerjasama erat pelbagai agensi kerajaan iaitu Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan DBKK; Polis Diraja Malaysia (PDRM); Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB); dan Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
“Kerjasama strategik antara agensi ini membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membanteras aktiviti pencerobohan tanah kerajaan dan pembinaan struktur haram yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta perancangan pembangunan bandar,” katanya.
DBKK menegaskan tindakan penguatkuasaan itu bukan semata-mata operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik untuk memastikan tanah kerajaan tidak terus diceroboh, memelihara kawasan rizab alam sekitar, mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah serta meningkatkan imej Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan berdaya huni.
“DBKK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan.
“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah dalam membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan penguasaan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah,” katanya.
DBKK merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat atas kerjasama dan komitmen tinggi sepanjang operasi dilaksanakan.




