SANDAKAN: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sentiasa berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat dan tidak pernah mengabaikan kebajikan serta keperluan mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manila, Datuk Hazem Mubarak Tun Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah yang dihadapi rakyat dan komited dalam memastikan kesejahteraan masyarakat terus dipertingkatkan menerusi pelbagai inisiatif serta bantuan yang diperkenalkan.
“Kerajaan GRS sentiasa memberikan yang terbaik untuk rakyat dan amat prihatin terhadap kebajikan mereka. Rakyat tidak diabaikan dan tidak dibiarkan terus dibelenggu pelbagai masalah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Lot Tanah Rizab Anak Negeri di Kampung Sungai Batang, di sini, pada Rabu.
Menurut Hazem, pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan yang dilaksanakan kerajaan adalah bertujuan meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, kerajaan negeri juga sentiasa berusaha mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi penduduk, termasuk di kawasan Kampung Sungai Batang.
“Masalah yang dihadapi penduduk di kampung ini sememangnya diberikan perhatian. Kita akan berusaha mengatasi isu bekalan air, sistem perparitan dan jalan masuk yang menjadi keperluan utama penduduk.
“Perkara ini sedang diberi perhatian dan saya telah meminta jabatan serta agensi kerajaan yang berkaitan untuk tampil membantu dalam mencari penyelesaian terbaik,” katanya.
Hazem berkata, sebagai wakil rakyat kawasan Sungai Manila, beliau akan terus memainkan peranan dalam membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada masyarakat setempat.
“Selaku ADUN Sungai Manila, saya komited untuk terus membawa kesejahteraan kepada rakyat dan akan berusaha memastikan setiap masalah yang dihadapi penduduk dapat ditangani sebaik mungkin,” katanya.



