TAMPARULI: Kehadiran beberapa remaja dan kanak-kanak dalam Program ‘English For Employability’ di Kampung Molisau, Tenghilan, walaupun tidak termasuk dalam kategori peserta rasmi, membuktikan minat yang semakin meningkat dalam kalangan generasi muda terhadap penguasaan Bahasa Inggeris.
Program yang dikhususkan kepada peserta berumur antara 18 hingga 45 tahun itu turut menarik perhatian golongan muda yang sanggup meluangkan masa pada waktu malam untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama peserta lain.
Mereka hadir bukan sebagai peserta berdaftar, namun mengambil peluang untuk mendengar dan mempelajari asas-asas Bahasa Inggeris yang diajar sepanjang program berlangsung.
Perkembangan itu mencerminkan kesedaran yang semakin tinggi mengenai kepentingan Bahasa Inggeris sebagai kemahiran penting untuk pendidikan, pekerjaan dan masa depan.
Salah seorang yang mengikuti sesi berkenaan, Viola Vicentia, 12, berkata beliau berasa gembira kerana diberi peluang untuk turut serta dalam kelas tersebut walaupun tidak layak menyertai program sebagai peserta rasmi.
Menurutnya, setiap sesi pembelajaran memberi pengalaman baharu dan membantu meningkatkan pemahamannya terhadap penggunaan Bahasa Inggeris.
“Walaupun kami hanya datang untuk mendengar dan belajar bersama-sama, kami sangat menghargai peluang ini kerana dapat menambah pengetahuan serta keyakinan untuk menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat diteruskan pada masa hadapan dan diperluaskan kepada lebih ramai golongan muda.
“Kami berharap suatu hari nanti apabila umur kami sudah mencapai 18 tahun, kami juga akan berpeluang menyertai program seperti ini sebagai peserta rasmi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar, Sadiona Rudy, 15, berkata minat yang mendalam terhadap Bahasa Inggeris mendorongnya untuk hadir bersama rakan-rakan walaupun menyedari program tersebut hanya terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas.
Katanya, peluang belajar daripada tenaga pengajar dan peserta yang lebih berpengalaman memberi manfaat besar dalam meningkatkan penguasaan bahasa tersebut.
“Saya memang meminati mata pelajaran Bahasa Inggeris di sekolah. Sebab itu saya datang bersama rakan-rakan untuk mendengar dan belajar walaupun kami belum cukup umur untuk menjadi peserta rasmi program ini,” katanya.
Menurutnya, penyertaan dalam sesi pembelajaran itu juga merupakan cara yang lebih bermanfaat untuk mengisi masa lapang.
“Daripada hanya duduk di rumah atau bermain telefon, lebih baik kami datang belajar sesuatu yang boleh membantu kami dalam pelajaran dan masa depan,” katanya.
Kehadiran golongan kanak-kanak dan remaja dalam program berkenaan turut mendapat perhatian masyarakat setempat yang melihatnya sebagai satu perkembangan positif dalam usaha membudayakan pembelajaran sepanjang hayat.
Masyarakat berpendapat minat yang ditunjukkan oleh golongan muda itu perlu terus diberi galakan kerana mampu membantu meningkatkan prestasi akademik, memperkukuh kemahiran komunikasi dan membina keyakinan diri sejak usia muda.
Selain memberi manfaat kepada peserta dewasa yang ingin meningkatkan kebolehpasaran pekerjaan melalui penguasaan Bahasa Inggeris, program itu turut menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda untuk terus menuntut ilmu dan memperkasa diri.
Semangat yang ditunjukkan oleh kanak-kanak dan remaja di Kampung Molisau membuktikan bahawa keinginan untuk belajar tidak mengenal usia.
Dengan sokongan masyarakat serta peluang pembelajaran yang berterusan, usaha memperkasakan pendidikan di peringkat komuniti diyakini mampu melahirkan generasi yang lebih berilmu, berkeyakinan dan berdaya saing pada masa hadapan.



