HomeUtamaHayati semangat Hijrah melalui integriti, perpaduan dan ilmu - Masidi

Hayati semangat Hijrah melalui integriti, perpaduan dan ilmu – Masidi

Read Time:1 Minute, 25 Second

SOOK: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun menyeru umat Islam supaya terus menghayati semangat Hijrah Rasulullah SAW dengan menterjemahkan nilai pengorbanan, integriti, perpaduan dan keilmuan dalam kehidupan seharian.

Beliau berkata, penghayatan Hijrah tidak seharusnya terhad kepada memperingati sejarah semata-mata, sebaliknya perlu dizahirkan melalui perubahan sikap, peningkatan disiplin diri dan kesungguhan memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik.

Menurutnya, tema Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M, “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, mengajak masyarakat menghayati nilai-nilai Islam sebagai asas pembentukan ummah yang berakhlak, bersatu dan bertanggungjawab.

“Tema sambutan ini perlu difahami secara mendalam dan diamalkan secara konsisten agar dapat melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi rohani, intelektual dan sosial,” katanya ketika merasmikan Sambutan Maal Hijrah 1448H/2026M Peringkat Daerah Sook di Dewan Terbuka Kampung Binuwou, pada Sabtu.

Masidi berkata, masyarakat juga perlu bersedia menghadapi cabaran semasa termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), teknologi digital, perubahan sosial serta ketidaktentuan ekonomi global.

Katanya, penghayatan nilai-nilai Islam menjadi benteng utama bagi memastikan kemajuan yang dicapai tidak mengabaikan prinsip moral dan etika.

Beliau turut mengingatkan bahawa pengorbanan yang ditunjukkan melalui peristiwa Hijrah Rasulullah SAW perlu dijadikan panduan dalam melaksanakan amanah dengan penuh keikhlasan, menjadikan pekerjaan sebagai ibadah serta menjauhi segala bentuk penyelewengan.

“Setiap individu mempunyai peranan dalam membina masyarakat yang lebih baik melalui tindakan yang berintegriti dan bertanggungjawab.

“Kemajuan sebenar bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal, malah turut bergantung kepada kekuatan ilmu, kemuliaan adab, keutuhan nilai masyarakat serta perpaduan yang kukuh. Justeru, marilah kita terus memperkukuh penghayatan agama dalam kehidupan seharian demi mencapai kesejahteraan bersama,” katanya.

Pada majlis sama, Masidi turut merasmikan ruang solat muslimat Masjid As-Saadah di Kampung Binuwou sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kemudahan ibadah dan meningkatkan keselesaan jemaah.

RELATED ARTICLES
Utama

Jejak Warisan Kota Kinabalu lengkapi agenda bandar hijau DBKK

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular