SEMPORNA : Sabah mempunyai kelebihan kompetitif menerusi warisan budaya yang kaya, biodiversiti bertaraf dunia selain komuniti yang masih mengekalkan nilai dan tradisi warisan sebagai asas pembangunan pelancongan mampan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Jafry Arifin berkata, gabungan ketiga-tiga elemen itu merupakan kelebihan yang tidak dimiliki oleh banyak destinasi lain di dunia.
Beliau berkata, seluruh komuniti, khususnya generasi muda diseru agar menjadi penjaga kepada kedua-dua warisan iaitu warisan budaya dan warisan alam sekitar.
“Pemeliharaan budaya bukan hanya tanggungjawab kerajaan. Begitu juga penjagaan alam sekitar. Ia memerlukan penglibatan aktif masyarakat sebagai pemilik sebenar warisan tersebut.
“Jika budaya dipelihara, identiti kita akan terus kukuh. Jika alam sekitar dipelihara, sumber kehidupan dan sektor pelancongan kita akan terus berkembang.
“Apabila kedua-duanya bergerak seiring, maka kita bukan sahaja mampu mengekalkan relevansi warisan ini, malah menjadikannya sebagai kekuatan strategik yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi, kesejahteraan sosial dan imej Sabah di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan Regatta Lepa Semporna kali ke-31 di sini pada Sabtu.
Sementara itu, Jafry berkata, Kementeriannya akan terus komited dalam memperkasakan program-program pelancongan berasaskan komuniti, pemeliharaan warisan budaya serta pemuliharaan alam sekitar.
Beliau berkata, penganjuran Regatta Lepa setiap tahun telah memberikan impak sosioekonomi yang signifikan kepada masyarakat setempat.
“Kehadiran pelawat dari dalam dan luar negara telah merancakkan aktiviti ekonomi tempatan, meningkatkan pendapatan para usahawan, pengusaha pelancongan, peniaga kecil, pengusaha kraftangan serta penyedia perkhidmatan di daerah Semporna.
“Inilah bukti bahawa warisan budaya yang dipelihara dengan baik mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.



