HomeUtamaKPDN, TikTok Shop Gerakkan Agenda Perkasa Produk Tempatan, Tangani Kos Sara Hidup

KPDN, TikTok Shop Gerakkan Agenda Perkasa Produk Tempatan, Tangani Kos Sara Hidup

Read Time:2 Minute, 15 Second

AMPANG,– Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkukuh kerjasama strategik dengan platform e-dagang TikTok Shop bagi menggerakkan agenda memperkasa produk tempatan, meningkatkan pendapatan usahawan serta membantu rakyat menangani cabaran kos sara hidup.

Menterinya, Datuk Seri Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama itu dilaksanakan menerusi penganjuran Pesta JomLokal 2026: Lokal Jaga Lokal, yang menghimpunkan hampir 1,000 usahawan, penjual, pencipta kandungan dan pemain industri dalam ekosistem e-dagang negara.

Beliau berkata, inisiatif itu bukan sekadar mempromosikan produk tempatan, malah menjadi platform memperkukuh penggunaan teknologi digital dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) supaya lebih berdaya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.

“Hasrat kerajaan ialah memastikan sektor e-dagang terus berkembang sebagai pemacu ekonomi negara tanpa mengabaikan aspek perlindungan pengguna, keadilan kepada peniaga serta integriti platform digital,” katanya ketika merasmikan program itu di sini, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan kini memberi tumpuan kepada dua pendekatan utama dalam menangani kos sara hidup, iaitu memastikan kestabilan harga barangan serta meningkatkan pendapatan rakyat melalui pemerkasaan ekonomi.

Katanya, walaupun kadar inflasi negara ketika ini kekal terkawal, kerajaan mengambil kira kemungkinan tekanan inflasi baharu susulan perkembangan geopolitik global, termasuk konflik di Asia Barat, yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi dunia.

“Isu sebenar bukan hanya harga barang meningkat, tetapi apabila pendapatan rakyat tidak berkembang seiring. Sebab itu agenda memperkasa usahawan dan ekonomi digital menjadi antara fokus utama kerajaan,” katanya.

Armizan berkata, program itu turut menyokong pelaksanaan gerakan Jom Beli Produk Malaysia (JOM Malaysia) yang dilancarkan pada 27 Jun lalu menerusi pendekatan whole-of-nation melibatkan kerajaan, industri, platform digital, usahawan, pencipta kandungan dan pengguna.

Beliau berkata, usaha berkenaan bertujuan menjadikan sokongan terhadap produk tempatan sebagai satu gerakan nasional, di samping membuka lebih banyak peluang kepada jenama tempatan menembusi pasaran global.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata TikTok Shop turut melancarkan Program Jualan Ihsan Rahmah, sekali gus menjadi platform e-dagang pertama yang bekerjasama dengan KPDN bagi memperluaskan konsep Jualan Rahmah ke platform digital.

Melalui inisiatif itu, pengguna boleh mendapatkan 75 unit stok simpanan (SKU) barangan keperluan pada harga diskaun daripada peruncit terpilih menerusi TikTok Shop.

Sebagai sebahagian daripada komitmen tersebut, TikTok Shop memperuntukkan RM180 juta bagi melaksanakan tiga inisiatif utama, termasuk menawarkan baucar diskaun sehingga 30 peratus, kadar komisen sifar bagi 56 subkategori produk, pengurangan yuran platform bagi 39 subkategori lain serta rebat penghantaran RM2 bagi setiap pesanan yang layak di seluruh negara.

Pada masa sama, Armizan berkata KPDN sedang membangunkan rangka kerja perundangan baharu bagi mengawal selia ekosistem e-dagang negara untuk mewujudkan persekitaran perdagangan digital yang lebih adil, telus, progresif dan inklusif, tanpa menjejaskan pertumbuhan sektor berkenaan.

Beliau berkata rangka kerja itu dijangka menggantikan Akta Perdagangan Elektronik sedia ada yang ketika ini lebih bersifat pemudah cara dan tidak mempunyai mekanisme kawal selia yang menyeluruh.

RELATED ARTICLES
Utama

Kes rasuah ADUN Sabah: Mahkamah Tinggi dengar permohonan 27 Oktober

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular