Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang warga asing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja berusia 14 tahun.
Tertuduh, Saliman Sukarno, 40, turut diperintahkan menjalani kaunseling rehabilitatif semasa berada dalama tahanan dan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh menukar pengakuannya kepada bersalah hari ini setelah dua saksi iaitu ibu mangsa dan mangsa memberi keterangan.
Mengikut pertuduhan,Saliman didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa pada kira-kira jam 6 pagi pada 2 Februari 2025 di dalam bilik sewa di sebuah kampung dekat sini.
Dia didakwa di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Semasa menjatuhkan hukuman, hakim berkata mahkamah telah mengambil kira antaranya kepentingan awam dan juga kepentingan mangsa yang mengalami trauma teruk akibat kesalahan itu.
Mahkamah berpendapat hukuman yang dijatuhkan mestilah berbentuk pengajaran dan peringatan, apatah lagi kejadian amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak semakin meningkat pada masa ini, termasuklah di daerah Kota Kinabalu sendiri.
“Mahkamah juga berpendapat bahawa, disebabkan tertuduh dan mangsa adalah totally stranger dan tidak mengenali antara satu sama lain, maka tertuduh wajar dipisahkan daripada masyarakat buat sementara waktu. Ini juga bagi membolehkan mangsa merawat kembali trauma yang dialaminya.
“Mahkamah juga berharap agar proses hukuman ini akan memberikan keinsafan kepada tertuduh, apatah lagi dia mempunyai isteri dan keluarga iaitu seramai tiga orang anak yang masih kecil. Ini juga sebagai amaran kepada orang lain supaya berfikir lebih panjang sebelum melakukan kesalahan serupa,” katanya.
Terdahulu, mahkamah dimaklumkan mangsa berada bersendirian di bilik sewa keluarganya selepas ibu dan adiknya keluar ke pasar.
Tertuduh memasuki bilik berkenaan dan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa. Tertuduh juga menunjukkan sebilah pisau pemotong sayur ke arah muka mangsa dan menyebabkan mangsa berasa ketakutan.
Manakala seorang lagi lelaki, rakan tertuduh, yang menutup wajahnya menunggu di luar bilik ketika kejadian.
Selepas kedua-duanya beredar, mangsa mendapatkan bantuan jiran sebelum kejadian itu dilaporkan kepada polis.
Tertuduh ditangkap pada 6 Februari 2025 dan mangsa mengecam muka tertuduh semasa kawad cam kerana mangsa melihat muka tertuduh dengan jelas semasa kejadian.
Tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



