KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mempertimbangkan penyertaan sektor pelancongan dalam mekanisme subsidi diesel bersasar bagi mengurangkan beban kos operasi yang ditanggung pengusaha pelancongan di negeri ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, sektor pelancongan, khususnya pengusaha resort di pulau-pulau, pengendali bot pelancongan dan operator aktiviti marin, bergantung sepenuhnya kepada diesel untuk memastikan operasi harian berjalan lancar.
Beliau berkata, keadaan itu berbeza dengan kebanyakan kawasan di Semenanjung kerana banyak destinasi pelancongan di Sabah tidak mempunyai sambungan kepada grid elektrik.
“Diesel bukan lagi satu pilihan kepada pengusaha pelancongan di pulau-pulau, sebaliknya merupakan keperluan asas untuk menjana bekalan elektrik, mengendalikan bot, logistik dan keseluruhan operasi perniagaan.
“Namun, sebahagian besar daripada mereka tidak termasuk dalam kategori yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS),” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan pengusaha terpaksa menanggung kos operasi yang jauh lebih tinggi tanpa sebarang bentuk bantuan, sekali gus memberi tekanan kepada kelangsungan perniagaan.
Katanya, situasi itu lebih mencabar memandangkan industri pelancongan Sabah masih belum memasuki musim kemuncak ketibaan pelancong, menyebabkan hasil perniagaan belum pulih sepenuhnya.
“Peningkatan kos operasi menghakis margin keuntungan, menjejaskan aliran tunai dan menyukarkan pengusaha untuk menampung kos utiliti, penyelenggaraan, logistik serta mengekalkan tenaga kerja.
“Jika tiada penyelesaian yang bersesuaian, keadaan ini boleh memberi kesan kepada kelangsungan industri pelancongan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Jafry mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan memasukkan sektor pelancongan sebagai antara sektor yang layak menerima subsidi diesel bersasar atau mewujudkan mekanisme khas bagi pengusaha yang beroperasi di pulau-pulau dan kawasan pedalaman.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengusaha tidak terus dibebani peningkatan kos operasi sehingga menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah.
Menurutnya, sektor pelancongan merupakan antara penyumbang utama ekonomi negeri serta menyediakan peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat, justeru dasar berkaitan subsidi diesel perlu mengambil kira realiti operasi industri di Sabah agar pembangunan sektor itu dapat diteruskan secara mampan.



