KOTA KINABALU: Kerjasama strategik antara Perancis dan Sabah terus diperkukuh menerusi pelbagai inisiatif melibatkan bidang tenaga hijau, ekonomi biru, penyelidikan, pelancongan serta keselamatan maritim yang dijangka memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
Duta Besar Perancis ke Malaysia, Marc Abensour berkata, perbincangan bersama kerajaan negeri memberi tumpuan kepada projek-projek yang sedang dilaksanakan di Sabah selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam sektor berpotensi tinggi.
Menurut beliau, antara projek yang dibincangkan ialah penglibatan syarikat Perancis, TotalEnergies dalam penerokaan blok laut dalam di luar pesisir Sabah, selain penyertaan Technip dan Valorep dalam projek berkaitan.
“Kami juga melihat peluang memperkukuh kerjasama dalam peralihan tenaga melalui pembangunan teknologi penangkapan karbon serta inisiatif menghijaukan sektor tenaga.
“Selain itu, kami turut membincangkan projek inovatif oleh syarikat Perancis, Botanickel di Ranau yang membolehkan nikel diekstrak menggunakan tumbuhan tanpa melibatkan aktiviti perlombongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Marc berkata, projek berasaskan alam semula jadi yang dilaksanakan oleh Botanickel bukan sahaja menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan kepada komuniti setempat.
Dalam pada itu, katanya, Perancis turut berminat memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi biru dan penyelidikan marin menerusi jalinan antara Pusat Penyelidikan Sains Marin Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan Institut Penyelidikan Marin Perancis (IFREMER).
Beliau berkata, Institut Penyelidikan Agronomi Perancis (CIRAD) juga sedang menjalinkan kerjasama penyelidikan berkaitan kelestarian industri sawit di Sabah, sekali gus memperkukuh hubungan saintifik antara kedua-dua pihak.
Menurutnya, pembukaan Club Med Resort di Kuala Penyu pula dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri dengan menarik lebih ramai pelancong antarabangsa.
Marc turut menegaskan bahawa hubungan Malaysia dan Perancis akan terus diperkasakan melalui kerjasama dalam aspek keselamatan dan pertahanan maritim, termasuk usaha meningkatkan keselamatan serta kestabilan perairan serantau, khususnya di Sabah.



