Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dikenakan denda RM5,500 atau sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah memiliki 48 video lucah dalam telefon bimbitnya.
Tertuduh, Farid Imran, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Marilyn Kelvin.
Farid didakwa memiliki 48 video lucah pada jam 4 petang, 25 Februari 2021, di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 292 kanun yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan dalam Op Pintu, Op Cantas dan Op Kesan di Apartment Cyber City.
Pada 12 Mac 2023, telefon bimbit milik tertuduh dihantar ke Makmal Forensik untuk dianalisis. Hasil laporan analisis mendapati terdapat sebanyak 48 video dipercayai lucah dalam telefon bimbit berkenaan.
Siasatan lanjut turut mengesahkan nombor telefon itu didaftarkan atas nama tertuduh.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh mengendalikan pendakwaan, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Luqman Syazwan Zabidi Md Zain.


