Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Kerajaan tidak bercadang untuk menyalurkan subsidi kepada sektor pelancongan kerana dasar subsidi negara kekal berteraskan kepentingan rakyat Malaysia dan bukannya pelancong asing.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun sektor pelancongan merupakan antara industri penting yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, pemberian subsidi kepada sektor itu tidak menepati matlamat pelaksanaan subsidi bersasar kerajaan.
Beliau berkata, manfaat subsidi yang disalurkan kepada sektor pelancongan akhirnya akan dinikmati oleh pelancong, termasuk warga asing, sedangkan subsidi yang dibiayai melalui hasil negara sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
“Pelancongan adalah satu sektor yang penting untuk negara. Malaysia juga bergantung kepada pelancongan sebagai satu sektor industri yang penting.
“Namun, kalau sektor pelancongan menerima subsidi, manfaat itu akan sampai kepada pelancong. Jadi mereka adalah kumpulan yang kita rasa sebenarnya tidak layak untuk mendapat subsidi daripada hasil yang kita kumpul dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan turun padang BUDI Diesel @ Shell di Stesen Shell Jalan Sulaman, Wisma Innoprise di sini pada Ahad.
Amir Hamzah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan mengenai permintaan sektor pelancongan di Sabah yang mendakwa tidak menerima manfaat subsidi kerajaan.
Menurutnya, kerajaan sejak awal menetapkan bahawa pelaksanaan subsidi bersasar adalah bagi memastikan bantuan menggunakan dana awam disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak, iaitu rakyat Malaysia.
Katanya, prinsip itu turut menjadi asas kepada pelaksanaan Program BUDI 95 dan BUDI Diesel yang diperkenalkan bagi memastikan subsidi tidak dinikmati oleh pihak yang tidak menjadi sasaran.
“Masa kita buat BUDI 95 dan BUDI Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita, bukan kepada rakyat asing.
“Jadi pelancong perlu membayar harga yang sepatutnya,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kerajaan tidak bercadang memperluaskan subsidi kepada sektor pelancongan, ia tidak bermaksud pembangunan industri berkenaan tidak diberi perhatian.
Sebaliknya, katanya, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya saing sektor pelancongan melalui pembangunan infrastruktur, peningkatan kemudahan awam dan penambahbaikan akses ke destinasi pelancongan.
“Untuk sektor pelancongan, apa yang lebih penting bagi kita ialah melihat bagaimana membangunkan sektor ini dan menyediakan infrastruktur yang memudahkan pelancong datang ke Malaysia, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan juga akan memberi perhatian terhadap usaha meningkatkan kecekapan lapangan terbang, memperluaskan hubungan udara dan menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa supaya lebih ramai pelancong memilih Malaysia sebagai destinasi mereka.
Di samping itu, Amir Hamzah berkata pembangunan produk serta tarikan pelancongan akan terus diperkasakan bagi memberi lebih banyak pilihan kepada pelawat dan menggalakkan mereka tinggal lebih lama di negara ini. – SABAH MEDIA



