KOTA KINABALU: Seorang lelaki didenda RM5,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah mencuri 71 kotak mozek milik sebuah syarikat pembinaan di Lok Kawi.
Tertuduh, Richardo Racha, 20, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Mengikut pertuduhan, Richardo didakwa mencuri 71 kotak mozek jenama Royal milik Syarikat K.T.I Sdn Bhd di tapak pembinaan Kem Lok Kawi, Putatan, jam 8.20 pagi, 28 Jun lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu yang memasuki kawasan Kem Lok Kawi melalui pintu belakang terserempak dengan dua kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang keluar dari kawasan berkenaan.
Pengadu kemudian menyedari kenderaan itu membawa banyak mozek.
Pengadu seterusnya melihat kedua-dua kenderaan itu berhenti di hadapan sebuah kuil di Lok Kawi sebelum beliau membuat pemeriksaan dan mendapati mozek yang dibawa adalah milik syarikatnya.
Beliau kemudian mengarahkan semua mozek berkenaan dibawa semula ke tapak pembinaan.
Timbalan Pendakwa Raya Akaash Singh mengednalikan pendakwaan.



