TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang disyaki mencederakan seorang lelaki berjaya ditahan polis dalam serbuan di Kampung Air Batu 4, Jalan Apas, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, suspek berusia 36 tahun itu dipercayai mencederakan mangsa berusia 42 tahun di sebuah rumah di kampung berkenaan selepas berlaku perselisihan faham.
“Mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek selepas berlaku perselisihan faham. Akibat kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang badan sebelah kanan dan menerima rawatan di Hospital Tawau sebelum membuat laporan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan hasil siasatan, sepasukan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan suspek di hadapan sebuah rumah di Kampung Air Batu 4.
“Pemeriksaan lanjut turut mendapati suspek merupakan warga asing yang gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah. Suspek disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebatang kayu bakau sepanjang kira-kira 112 sentimeter yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dan dijadikan barang kes.
Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952.



