HomeUtamaKPDN perkukuh pengurusan subsidi minyak masak, laksana tambah naik COSS secara berperingkat

KPDN perkukuh pengurusan subsidi minyak masak, laksana tambah naik COSS secara berperingkat

Read Time:2 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memperkukuhkan pengurusan Skim Penstabilan Minyak Masak (COSS) menerusi pelbagai langkah penambahbaikan bagi memastikan subsidi minyak masak sampai kepada golongan yang layak serta mengurangkan ketirisan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kementerian menyambut baik syor Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak yang dibentangkan menerusi Penyata PAC DR.27 Tahun 2026 di Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu.

Katanya, KPDN akan meneliti serta mengambil perhatian serius terhadap semua syor yang dikemukakan, selain meneruskan strategi penambahbaikan COSS yang dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023.

“Langkah ini turut diperkukuhkan melalui naziran dalaman yang dilaksanakan KPDN dari Disember 2023 hingga Jun 2024.

“KPDN juga mengalu-alukan saranan PAC supaya pelaksanaan Sistem Skim Penstabilan Minyak Masak (eCOSS) dipercepatkan bagi menyokong peralihan daripada subsidi pukal kepada subsidi bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pembangunan sistem eCOSS dilaksanakan dalam dua fasa, dengan fasa pertama mewajibkan perekodan digital pengurusan kuota bulanan, transaksi jualan dan tuntutan subsidi di sepanjang rantaian bekalan bermula daripada kilang penapisan, syarikat pembungkus, pemborong sehingga peruncit.

Katanya, fasa kedua pula melibatkan pembangunan aplikasi mudah alih eCOSS yang mula dilaksanakan secara rintis pada Mei 2025 bagi merekod transaksi jual beli minyak masak peket sehingga ke peringkat pengguna.

“Pelaksanaan sistem eCOSS secara menyeluruh merupakan langkah penting bagi mengurangkan ketirisan, mengelakkan manipulasi rekod manual dan membanteras penyelewengan bekalan.

“Sistem ini juga akan diperkukuhkan melalui penggunaan kad pengenalan baharu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang membolehkan pembelian disahkan menggunakan imbasan kod QR sekali gus menghalang pembelian oleh warga asing,” katanya.

Mengulas syor PAC supaya agihan bekalan memberi keutamaan kepada syarikat penapisan milikan tempatan, Armizan berkata, ketika ini pemilihan kilang penapis masih ditentukan syarikat pembungkus berdasarkan faktor logistik, harga, terma kredit dan kapasiti bekalan.

Bagaimanapun, katanya, KPDN sedang melaksanakan intervensi secara berperingkat bagi menggalakkan syarikat pembungkus mendapatkan bekalan daripada kilang penapis milikan tempatan melalui syarat penggantian kuota dan mekanisme padanan perniagaan.

Selain itu, beliau berkata, kementerian turut melaksanakan beberapa langkah lain termasuk larangan penjualan minyak masak peket satu kilogram kepada bukan warganegara yang berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan minyak masak sisa atau rosak bermula 1 Mei 2026, serta penetapan harga runcit maksimum RM2.50 bagi minyak masak peket satu kilogram.

Katanya, langkah lain merangkumi pengintegrasian sistem eCOSS dengan Sistem Sumbangan Asas Rahmah (SARA), pemantauan berkala terhadap pemegang kuota, penyelarasan penguatkuasaan melalui Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan Bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) serta Task Force OPS TIRIS 4.0, selain memastikan bekalan minyak masak peket bersubsidi sentiasa tersedia menerusi Program Jualan Rahmah MADANI.

“KPDN juga melaksanakan mekanisme ‘zoning’ bagi pengedaran minyak masak bersubsidi, di mana syarikat pembungkus hanya dibenarkan menentukan 50 peratus senarai pengagihan peruncitan, manakala baki 50 peratus ditentukan oleh KPDN.

“Kementerian komited untuk terus menambah baik pengurusan COSS dengan mengambil kira dapatan naziran dalaman, Laporan Ketua Audit Negara dan syor PAC bagi memastikan subsidi yang diperuntukkan kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat yang layak,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

UMS wakil tunggal Malaysia sertai SDGs Global Camp 2026 di Bangkok

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular