Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Kerajaan negeri memperkukuh usaha menangani isu individu tanpa dokumen atau stateless di negeri ini menerusi pendekatan berteraskan kemanusiaan, kerjasama pelbagai agensi serta penyediaan dasar yang lebih sistematik.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal berkata, antara langkah konkrit yang telah dilaksanakan ialah kerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), termasuk penyediaan sebuah rumah transit di Tawau bagi menempatkan kanak-kanak tanpa dokumen.
Menurut beliau, kanak-kanak berkenaan ditempatkan di rumah transit tersebut selama tiga bulan bagi menjalani proses pengenalpastian identiti serta pemantauan perkembangan mereka.
“Dalam tempoh itu, pelbagai pengisian dilaksanakan dan rekod identifikasi diri mereka dikumpulkan supaya kita dapat memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keluarga Harmoni, Masyarakat Sejahtera peringkat negeri Sabah di Merotai, di sini semalam.
Beliau berkata, isu stateless merupakan masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama dan memerlukan penyelesaian menyeluruh melibatkan pelbagai agensi kerajaan.
Katanya, sebuah jawatankuasa khas telah diwujudkan di bawah Jabatan Ketua Menteri bagi menyelaras tindakan berkaitan isu tersebut, selain perkembangan mengenainya sentiasa dibincangkan di peringkat Kabinet negeri.
Dalam pada itu, beliau menambah, kerajaan juga perlu mengambil kira serta mengimbangi kepentingan undang-undang, hak kemanusiaan dan keselamatan negeri berhubung isu tersebut.
“Kita perlu mencari titik tengah tanpa membelakangkan mana-mana pihak. Sebab itu kerjasama dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), UNICEF dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa diperkukuhkan,” jelasnya.
Beliau berkata, kanak-kanak tanpa dokumentasi juga memerlukan perhatian kerana keadaan mereka boleh memberi kesan sosial yang besar kepada masyarakat sekiranya tidak ditangani secara menyeluruh.
Menurutnya, kementerian kini sedang mengusulkan satu rangka tindakan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan isu berkenaan diselesaikan secara lebih sistematik dan berkesan.
Mengulas kritikan terhadap pendekatan kerajaan, Rina menegaskan kerajaan negeri sentiasa mengutamakan nilai kemanusiaan dalam menangani isu tersebut.
“Kerajaan Negeri tidak pernah melaksanakan program mengusir mereka walaupun tidak mempunyai dokumentasi. Kita sentiasa mengambil pendekatan kemanusiaan sambil mencari penyelesaian terbaik bersama semua kementerian dan agensi berkaitan,” ujarnya.
Mengenai anggaran jumlah individu tanpa dokumen di Sabah, beliau berkata angka tersebut sentiasa berubah bergantung kepada proses pengesahan dokumentasi dan pertambahan ahli keluarga.
“Secara puratanya sekitar 40 hingga 50 peratus daripada kes yang dikenal pasti melibatkan individu yang langsung tidak mempunyai dokumentasi, manakala sebahagiannya mempunyai dokumen yang tidak lengkap seperti sijil kelahiran tetapi belum memiliki kad pengenalan yang sah,” katanya.
Sementara itu, Rina berkata seminar yang diadakan merupakan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sabah bersama PEMADAM Daerah Tawau bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa mengenai tanda-tanda awal penyalahgunaan dadah dalam kalangan anak-anak.
Katanya, program berbentuk outreach itu memberi pendedahan kepada institusi keluarga agar ibu bapa lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak dan mampu bertindak lebih awal.
Beliau berkata, menerusi Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah serta Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), pelbagai program kesedaran telah dilaksanakan di semua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
Antara program tersebut ialah “Antara Cita-cita dan Cinta” yang memberi fokus kepada remaja bawah umur dengan pendedahan mengenai sentuhan selamat, sentuhan tidak selamat serta risiko pengaruh negatif yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Menurut beliau, pelaksanaan program itu turut melibatkan kerjasama pihak sekolah dan institusi pendidikan bagi memastikan usaha pendidikan pencegahan dapat dilaksanakan secara berterusan sepanjang tahun.



