HomeUtamaSimfoni Sakinah berpotensi jadi acara tahunan, diperluas ke daerah lain

Simfoni Sakinah berpotensi jadi acara tahunan, diperluas ke daerah lain

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Program Simfoni Sakinah yang julung kali diadakan di Sabah dilihat berpotensi untuk dijadikan sebagai acara tahunan selain bakal diperluaskan ke beberapa buah daerah di negeri ini pada masa hadapan.

Majlis yang berjaya menghimpunkan 10 pasangan pengantin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut menjadi inisiatif baharu dalam mempermudah urusan perkahwinan masyarakat Islam di negeri ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejayaan penganjuran program itu membuktikan pendekatan baharu dalam meraikan pasangan pengantin mendapat sambutan yang amat baik dan wajar diteruskan.

“Selepas ini Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) akan membuat kajian berhubung dengan perkara berkenaan. Ini ada cadangan juga dan insya-Allah kita akan perbincangkan untuk tahun hadapan sekiranya ada tempat yang sesuai. 

Arifin menyerahkan sijil nikah kepada salah seorang pasangan pengantin

“Tetapi buat sementara ini kita akan adakan di Kota Kinabalu dan insya-Allah kalau ada ruang dan kesempatan yang lain kita akan buat kajian berhubung dengan perkara ini dan kalau boleh diadakan di beberapa tempat di bahagian peringkat bahagian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Simfoni Sakinah di SICC di sini pada Ahad.

Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, program itu turut mencatat sejarah apabila akad nikah pasangan pengantin dikendalikan oleh tokoh-tokoh agama negeri, termasuk Pengarah JHEAINS bertindak sebagai jurunikah, khutbah nikah disampaikan oleh Timbalan Mufti Sabah, manakala doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri Sabah.

Pengarah JHEAINS Datuk Awang Juri Ag Tahir turut menjadi jurunikah kepada salah satu pasangan pengantin yang menyertai program berkenaan

Selain itu katanya, pasangan pengantin turut menerima sijil nikah dan kad nikah sejurus selesai majlis akad nikah, sekali gus memudahkan urusan mereka pada hari bersejarah tersebut.

“Saya mengucapkan berbanyak terima kasih, syabas dan tahniah kepada JHEAINS, Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta jawatankuasa penganjur kerana berjaya melaksanakan program yang sangat bersejarah ini,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan penganjuran pertama itu dijangka menjadi pemangkin kepada lebih ramai pasangan untuk menyertai sama pada masa hadapan.

Pada majlis berkenaan, 10 pasangan pengantin dari beberapa daerah termasuk Kota Kinabalu, Papar, Kota Belud, Keningau dan Sandakan disatukan dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung dalam suasana penuh bermakna. – SABAH MEDIA / FOTO JHEAINS

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah cadang tubuh jawatankuasa khas banteras penyeludupan, import makanan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular