LABUAN: Peningkatan pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) menunjukkan pelaksanaannya di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan terus mencatat perkembangan yang memberangsangkan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata setakat 18 Julai lalu, sebanyak 28,127 syarikat melibatkan 68,669 kenderaan perdagangan di tiga wilayah itu telah berdaftar di bawah SKDS sejak permohonan dibuka pada 4 Mei 2026.
Daripada jumlah itu, sebanyak 2,116 syarikat melibatkan 3,433 kenderaan berdaftar di bawah sektor Pengangkutan Darat (Awam), 18,770 syarikat membabitkan 51,679 kenderaan dalam sektor Pengangkutan Darat (Barangan Keperluan Pengguna), manakala 7,241 syarikat dengan 13,557 kenderaan berada dalam kategori Pengangkutan Darat (Persendirian Syarikat – Jip dan Pikap).
Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 172,955 syarikat melibatkan 464,797 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di seluruh negara setakat tarikh sama.
Armizan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Fleet Card SKDS kepada syarikat yang telah diluluskan permohonannya dan menerima kad berkenaan daripada PETRONAS, Shell serta Petron di Labuan, hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung Malaysia bermula pada 10 Jun 2024 sebelum diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan pada 1 Julai 2026.
Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertanggungjawab mengawal selia penyaluran subsidi diesel bagi kenderaan perdagangan melalui SKDS, manakala program subsidi lain seperti BUDI Diesel, BUDI Agri-Komoditi dan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan dikendalikan oleh kementerian berkaitan.
“Syarikat yang berjaya diluluskan di bawah SKDS perlu mendapatkan fleet card daripada syarikat minyak bagi membolehkan pembelian diesel bersubsidi dibuat menggunakan mekanisme berkenaan.
“Penggunaan fleet card membolehkan setiap transaksi pembelian diesel bersubsidi direkodkan secara digital sekali gus memperkukuh pemantauan, mengurangkan risiko ketirisan dan memastikan subsidi disalurkan kepada kumpulan sasar,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan menggesa semua syarikat yang layak tetapi masih belum berdaftar supaya segera mengemukakan permohonan melalui portal MySubsidi.
Katanya, susulan pelaksanaan penuh penggunaan fleet card SKDS di Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula 1 Julai lalu, KPDN sedang mengadakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti beberapa cadangan penambahbaikan berdasarkan pengalaman pelaksanaan, maklum balas industri dan isu operasi yang dikenal pasti.
Pada masa sama, katanya, KPDN akan meneruskan sesi libat urus bersama kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi membincangkan isu berbangkit supaya pelaksanaan dasar mengambil kira keperluan operasi di lapangan tanpa menjejaskan objektif penyasaran subsidi serta usaha membendung ketirisan.
“KPDN akan terus bekerjasama rapat dengan MOF, kerajaan negeri, syarikat minyak dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan SKDS terus diperkukuh dari semasa ke semasa,” ujarnya.



