KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas melibatkan pelbagai agensi penguat kuasa dicadang ditubuhkan bagi memperkukuh pemantauan dan tindakan terhadap penyeludupan serta pengimportan makanan yang tidak mematuhi peraturan ke negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Jamawi Jaafar berkata, cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet Negeri dalam masa terdekat bagi mendapatkan mandat untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan.
Beliau berkata, jawatankuasa itu dicadang menghimpunkan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi-agensi penguat kuasa berkaitan.

“Saya akan mengemukakan laporan ini kepada pihak Kabinet dalam sedikit masa lagi dan saya akan memohon mandat untuk mengadakan satu jawatankuasa khas melibatkan kementerian, AKPS, JKDM, pihak polis serta semua agensi yang berkaitan.
“Tujuannya adalah untuk memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan secara bersepadu, termasuk aspek pelupusan barangan rampasan secara lebih teratur dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau rampasan 12 kontena yang mengandungi makanan sejuk beku dalam Ops Ribat Sepanggar 1/2026 di Pelabuhan Sepanggar di sini pada Ahad.
Jamawi berkata, penubuhan jawatankuasa khas itu penting bagi memastikan setiap agensi dapat menyelaras tindakan dengan lebih berkesan dalam membanteras kegiatan penyeludupan makanan yang boleh mengancam keselamatan bekalan makanan dan menjejaskan keyakinan pengguna, khususnya umat Islam terhadap status halal produk di pasaran.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba membawa masuk makanan melalui kaedah yang menyalahi undang-undang atau membuat pengisytiharan palsu.
“Kita akan terus berusaha dan bekerjasama dengan AKPS, JKDM serta semua agensi penguat kuasa untuk membanteras penyeludupan makanan di Sabah. Ini bukan titik akhir, sebaliknya langkah awal bagi memperkukuh sistem pemantauan dan penguatkuasaan kita,” katanya.
Jamawi turut memuji tindakan pantas AKPS, JKDM dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang berjaya mengesan serta menghalang kontena-kontena berkenaan daripada memasuki pasaran.
Menurutnya, kerjasama strategik antara semua agensi berkaitan amat penting bagi memastikan hanya produk makanan yang mematuhi syarat import dan piawaian keselamatan dibenarkan memasuki negeri ini, sekali gus melindungi kepentingan pengguna serta industri makanan di Sabah.



