HomeUtamaPeguam lapor polis, gesa siasatan menyeluruh insiden pelajar terjatuh di sekolah

Peguam lapor polis, gesa siasatan menyeluruh insiden pelajar terjatuh di sekolah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang peguam membuat laporan polis menggesa siasatan secara telus, bebas dan menyeluruh terhadap insiden seorang pelajar perempuan Tingkatan Dua yang dipercayai terjatuh di sebuah sekolah menengah di Papar.

Datuk Ram Singh berkata, walaupun siasatan awal pihak sekolah tidak menemukan sebarang unsur jenayah atau buli, insiden itu tetap perlu disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menentukan sama ada wujud unsur kecuaian, kelemahan langkah keselamatan, pengabaian tanggungjawab atau faktor lain yang mungkin menyebabkan atau menyumbang kepada kejadian berulang seperti itu.

Ram membuat laporan itu di Balai Polis Luyang, hari ini, selepas membaca laporan media mengenai kejadian berkenaan serta merujuk kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) yang memaklumkan pelajar terbabit berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di hospital.

“Saya turut menerima maklumat daripada sumber lain bahawa mangsa mengalami kecederaan, termasuk patah kaki, dan telah meninggalkan nota bunuh diri.

“Sehubungan itu, saya menggesa pihak polis dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) menyiasat maklumat tersebut,” katanya dalam laporan itu.

Ram berkata, kejadian itu berlaku kira-kira setahun selepas kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di sekolah yang sama, yang kini menjadi subjek inkues yang masih berjalan.

Menurutnya, kejadian seperti itu yang berlaku di sekolah sama dalam tempoh yang agak singkat telah menimbulkan kebimbangan awam serta persoalan mengenai tahap keselamatan, penyeliaan pelajar, pengurusan sekolah, kemudahan fizikal dan faktor lain yang mungkin menyumbang kepada berlakunya insiden sedemikian.

“Semasa permulaan inkues, banyak persoalan dibangkitkan mengenai langkah-langkah keselamatan di sekolah yang sama, termasuk aspek keselamatan, pagar dan langkah berjaga-jaga yang lebih rapi, namun kini berlaku lagi satu kejadian pelajar terjatuh.

“Perkara ini amat mengecewakan dan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena. Oleh itu, siasatan yang sewajarnya perlu dijalankan oleh pihak polis serta JPNS,” katanya.

Sehubungan itu, Ram memohon agar PDRM menjalankan siasatan yang telus, bebas dan menyeluruh, termasuk mendapatkan semua rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berkaitan, merakam percakapan saksi, meneliti prosedur keselamatan sekolah, menilai tahap penyeliaan pelajar serta menyiasat perkara lain yang difikirkan relevan.

“Sekiranya terdapat bukti kecuaian atau apa-apa kesalahan di bawah mana-mana peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, saya dengan hormat memohon supaya tindakan undang-undang yang sewajarnya diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab,” katanya.

Ram turut memaklumkan bahawa beliau telah dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan selepas laporan polis itu dibuat.

RELATED ARTICLES
Utama

KKR mahu budaya kerja baharu, tamatkan amalan bekerja secara silo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular