KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) mahu menerapkan budaya kerja baharu dalam kalangan semua kementerian, jabatan, agensi teknikal, syarikat utiliti dan pihak berkepentingan dengan menamatkan amalan bekerja secara silo bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur dapat dipercepatkan demi kepentingan rakyat.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, cabaran terbesar ketika ini bukan lagi kekurangan perancangan, sebaliknya kelajuan pelaksanaan projek yang sering terjejas akibat isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti, penyelarasan antara agensi serta proses membuat keputusan.
Menurutnya, semua pihak perlu meninggalkan budaya bekerja secara berasingan dan mengutamakan kolaborasi bagi menyelesaikan isu dengan lebih pantas.
“Cabaran sebenar ialah kelajuan pelaksanaan. Isu pengambilan tanah, pemindahan utiliti, penyelarasan antara agensi dan proses membuat keputusan tidak boleh terus menjadi alasan yang menghalang kemajuan projek.
“Rakyat tidak menilai kita berdasarkan alasan. Mereka menilai kita berdasarkan hasil,” katanya ketika berucap merasmikan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia 2026 di sini, pada Ahad.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.
Alexander berkata, sebarang isu yang boleh diselesaikan melalui satu meja rundingan tidak seharusnya mengambil masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun.
“Kolaborasi mesti menjadi amalan harian, bukan sekadar tema seminar atau perbincangan meja bulat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata kejayaan pembangunan infrastruktur negara bergantung kepada keupayaan semua pihak bergerak sebagai satu pasukan.
Katanya, kemajuan projek strategik seperti Lebuhraya Pan Borneo, Sarawak-Sabah Link Road (SSLR), pelaksanaan inisiatif pendigitalan serta kerjasama merentas agensi membuktikan bahawa cabaran besar mampu diatasi apabila semua pihak berganding bahu.
Beliau turut mengingatkan bahawa kejayaan yang dicapai ketika ini bukan destinasi terakhir, sebaliknya amanah untuk terus meningkatkan kecekapan, mempercepat pelaksanaan projek dan berani melakukan pembaharuan.
“Saat kita mula berasa selesa dengan pencapaian hari ini, pada saat itulah kita sebenarnya mula ketinggalan. Negara lain sedang mempercepatkan transformasi mereka.
“Oleh itu, kita mesti sentiasa mencabar diri untuk menjadi lebih cekap, lebih inovatif dan lebih berani melakukan pembaharuan,” katanya.
Beliau berkata, KKR mahu budaya kecemerlangan menjadi identiti kementerian supaya setiap projek yang dilaksanakan bukan sahaja siap mengikut jadual, malah memberi manfaat yang nyata kepada rakyat melalui sistem penyampaian yang lebih pantas, cekap dan berintegriti.



