KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan digesa mempertimbangkan semula pelaksanaan subsidi diesel bagi pengusaha pelancongan di Sabah yang kini berdepan peningkatan kos operasi susulan pelaksanaan dasar berkenaan.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ramai pengusaha pelancongan di negeri ini, khususnya di kawasan pulau dan destinasi luar bandar, bergantung kepada diesel untuk menggerakkan bot pelancong, menjana bekalan elektrik serta memastikan operasi harian berjalan lancar.
Beliau berkata, tanpa penyelesaian segera, ramai pengusaha dijangka berdepan tekanan kewangan yang serius sehingga berkemungkinan terpaksa mengurangkan operasi, memberhentikan pekerja atau menutup perniagaan seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19.
“Kita tidak boleh membiarkan industri yang sedang bangkit semula selepas pandemik kembali terjejas hanya kerana kos operasi yang semakin membebankan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.
Menurut Jafry, sektor pelancongan merupakan antara tonggak utama ekonomi Sabah dengan menyumbang kira-kira 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.
Katanya, industri itu turut menjana sehingga RM13.7 bilion hasil tahunan serta menyediakan sekitar 387,600 peluang pekerjaan, mewakili lebih 22 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja di Sabah.
“Ini bukan sekadar soal subsidi diesel. Ini adalah soal kelangsungan ekonomi negeri, kelangsungan ribuan perusahaan tempatan serta mata pencarian ratusan ribu rakyat Sabah yang bergantung secara langsung dan tidak langsung kepada industri pelancongan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan Persekutuan mengambil kira realiti geografi Sabah serta keunikan operasi industri pelancongan negeri dengan memperkenalkan mekanisme subsidi diesel yang lebih adil, fleksibel dan bersasar kepada pengusaha pelancongan yang benar-benar layak.
Jafry berkata, melindungi industri pelancongan hari ini bermakna melindungi ekonomi Sabah pada masa depan kerana keputusan yang dibuat ketika ini akan menentukan sama ada industri berkenaan terus berkembang atau kembali berdepan krisis seperti yang dialami ketika pandemik COVID-19.
Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus membawa suara pemain industri dan berharap Kerajaan Persekutuan dapat bertindak segera bagi memastikan sektor pelancongan Sabah kekal berdaya saing, mampan serta terus menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi negeri.



