HomeUtamaSokong petani Sabah: Jamawi agih buah tempatan di DUN

Sokong petani Sabah: Jamawi agih buah tempatan di DUN

Read Time:2 Minute, 12 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar menggesa semua wakil rakyat dan ketua jabatan di negeri ini menjadi duta kepada buah-buahan tempatan dengan mengutamakan hasil keluaran petani Sabah berbanding buah import dalam majlis rasmi dan pemberian cenderamata.

Beliau berkata, sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kementeriannya mengagihkan buah-buahan tempatan seperti nanas jenis MD2 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua jabatan sebagai usaha mempromosikan hasil pertanian tempatan serta menggalakkan sokongan berterusan terhadap industri buah-buahan negeri.

“Kita berharap mereka menjadi peneraju dalam memajukan dan membantu mempromosikan buah-buahan tempatan.

“Jika melawat orang sakit di hospital, menghadiri majlis perkahwinan atau memberi cenderamata, elakkan menggunakan buah-buahan import seperti epal dan anggur. Gunakanlah buah-buahan tempatan supaya petani kita mendapat sokongan dan dapat memasarkan hasil mereka dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Media DUN Sabah, di sini, pada Khamis.

Jamawi berkata, kementeriannya juga akan membantu membangunkan pembungkusan buah-buahan tempatan agar lebih menarik dan sesuai dijadikan hadiah atau cenderamata.

Beliau berkata, agensi di bawah kementerian seperti Jabatan Pertanian Sabah boleh memainkan peranan dalam menghasilkan pembungkusan yang berkualiti bagi meningkatkan nilai komersial produk tempatan.

Mengulas perkembangan program Kebun Dapur Sabah, Jamawi berkata, sambutan masyarakat amat memberangsangkan dengan kira-kira 3,000 pengusaha kecil direkodkan dalam tempoh enam bulan pertama pelaksanaannya.

Katanya, jumlah itu menghampiri sasaran 5,000 pengusaha yang ditetapkan dalam tempoh lima tahun.

“Saya menerima maklum balas yang sangat positif daripada ketua-ketua jabatan apabila mereka turun padang. Ini menunjukkan masyarakat dahagakan bantuan dan bimbingan daripada kementerian.

“Kita melihat semakin ramai rakyat mula bercucuk tanam di sekitar rumah, menternak ayam, itik dan puyuh serta mengusahakan ternakan ikan secara kecil-kecilan bagi meningkatkan sara diri dan menjana pendapatan tambahan,” katanya.

Menurutnya, sempena Sambutan Hari Peladang tahun ini, kementerian bercadang memperkenalkan skim insentif serta memberi pengiktirafan kepada peserta Kebun Dapur yang berjaya sebagai galakan kepada lebih ramai masyarakat menyertai program itu.

Beliau turut memaklumkan perbincangan telah diadakan dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Perbandaran Tawau bagi mengenal pasti kawasan tanah bersesuaian di bandar untuk dijadikan lokasi Kebun Dapur komuniti, khususnya bagi penduduk flat dan kondominium.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, program Kebun Dapur akan diperluaskan ke institusi pendidikan mulai tahun depan.

Katanya, pelaksanaan akan dimulakan di sekolah yang menawarkan silibus pertanian selepas kementerian berkaitan menyediakan peruntukan.

“Walaupun tahun ini belum ada peruntukan khusus, mana-mana sekolah yang ingin memulakan Kebun Dapur akan tetap dibantu melalui khidmat nasihat teknikal daripada Jabatan Pertanian dan agensi di bawah kementerian.

“Kita mahu memupuk kesedaran mengenai keterjaminan makanan, keselamatan makanan dan kepentingan pertanian sejak di bangku sekolah lagi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kompleks Sukan Tongod dijangka siap dalam tempoh lapan bulan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular