LABUAN: PETRONAS menganjurkan Forum Pengawalseliaan Labuan bagi memperkukuh kerjasama antara pemain industri dan badan pengawal selia, sekali gus meningkatkan pematuhan terhadap keperluan kawal selia serta menyokong operasi minyak dan gas yang selamat dan boleh dipercayai di Labuan.
Forum yang diadakan baru-baru ini dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Labuan itu menghimpunkan lebih 100 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat berkaitan industri minyak dan gas.
Program berkenaan menampilkan sesi perkongsian mengenai keperluan terkini berkaitan kastam, imigresen, percukaian serta aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang melibatkan industri minyak dan gas.
Selain itu, forum tersebut turut menjadi platform kepada pihak pengawal selia dan pemain industri untuk bertukar pandangan mengenai perkembangan kawal selia, isu operasi semasa serta amalan terbaik dalam industri.
Pengurus Besar Pejabat PETRONAS Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab, berkata kerjasama erat antara pihak pengawal selia dan industri amat penting bagi memastikan kelancaran operasi dalam persekitaran yang semakin mencabar.
“Forum Pengawalseliaan Labuan membolehkan kita berinteraksi secara terbuka, berkongsi pandangan serta memperkukuh kefahaman bersama untuk menyokong operasi yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan media.
Forum itu dihadiri wakil agensi kerajaan, entiti PETRONAS, kontraktor petroleum, penyedia perkhidmatan logistik serta syarikat-syarikat perkhidmatan yang terlibat dalam ekosistem industri minyak dan gas.
Penganjuran forum berkenaan mencerminkan komitmen berterusan PETRONAS dalam memperkukuh kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan, di samping memastikan pematuhan terhadap keperluan kawal selia bagi menyokong pembangunan industri minyak dan gas yang mampan di Labuan.



