HomeUtama'Bailey Bridge' di Tanjung Lipat siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu...

‘Bailey Bridge’ di Tanjung Lipat siap dalam tempoh dua hingga tiga minggu – Joachim

Read Time:1 Minute, 8 Second

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) mengambil langkah segera bagi melaksanakan pemasangan jambatan sementara jenis ‘Bailey’ di lokasi jambatan yang rosak di Kilometer 2.85, Jalan Tun Fuad Stephen berhampiran Tanjung Lipat, bagi memulihkan semula laluan berkenaan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pemasangan jambatan sementara itu merupakan langkah segera kerajaan bagi memastikan pergerakan pengguna jalan raya kembali lancar sementara penyelesaian jangka panjang dilaksanakan.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan bertujuan meningkatkan keberkesanan aliran trafik selain menjamin keselesaan dan keselamatan pengguna yang melalui laluan tersebut.

“Berdasarkan perkembangan semasa di tapak, proses pemasangan ‘Bailey Bridge’ dijangka mengambil masa sekitar dua hingga tiga minggu untuk disiapkan, tertakluk kepada keadaan cuaca dan faktor teknikal di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, kementeriannya melalui JKR Sabah komited untuk menyiapkan kerja-kerja berkenaan secepat mungkin demi kepentingan orang ramai serta memastikan laluan itu dapat digunakan semula dengan selamat.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya terus bersabar sepanjang tempoh pelaksanaan projek selain mematuhi semua arahan petugas dan papan tanda keselamatan yang disediakan di kawasan berkenaan.

Katanya, kerjasama daripada pengguna jalan raya amat penting bagi memastikan kelancaran kerja-kerja pemasangan serta keselamatan semua pihak di lokasi.

Pada masa sama, beliau turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh pengguna jalan raya sepanjang tempoh pelaksanaan kerja-kerja tersebut.

RELATED ARTICLES
Utama

Mahasiswa Sabah Dinobat Sebagai Tokoh Kepimpinan Siswa UPSI 2025

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular