HomeUtamaDr Joachim sah Presiden PBS, Joniston dan Ruslan menang tanpa bertanding jawatan...

Dr Joachim sah Presiden PBS, Joniston dan Ruslan menang tanpa bertanding jawatan Timbalan Presiden

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, disahkan memenangi jawatan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) tanpa bertanding bagi penggal 2026–2029.

Dua lagi jawatan Timbalan Presiden mengikut kuota yang diperuntukkan masing-masing dimenangi tanpa bertanding oleh Datuk Joniston Bangkuai dan Datuk Ruslan Muharram bagi tempoh penggal yang sama.

Setiausaha Agung PBS yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Datuk Julita Mojungki, berkata Dr Joachim merupakan satu-satunya calon yang dicalonkan bagi jawatan Presiden selepas tempoh pencalonan ditutup pada 31 Julai lalu.

Menurutnya, Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Bumiputera Bukan Islam apabila menjadi calon tunggal yang menerima pencalonan.

Bagi kuota Bumiputera Islam pula, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharram, turut diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon hanya memperoleh satu pencalonan.

Katanya, mengikut syarat pemilihan parti, seseorang calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya tiga pencalonan untuk layak bertanding.

Sementara itu, bagi jawatan Timbalan Presiden kuota Cina, dua calon layak bertanding iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Lo Su Fui, dan Ahli Majlis Tertinggi PBS, Goon Thien Shang.

Julita berkata, persaingan turut menyaksikan tiga calon bertanding bagi dua jawatan Naib Presiden kuota Bumiputera Bukan Islam, iaitu ADUN Tandek, Datuk Hendrus Anding; ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum; serta penyandang, Datuk Johnny Mositun.

Bagi kuota Naib Presiden Bumiputera Islam pula, enam calon layak bertanding untuk mengisi dua kekosongan, iaitu penyandang Mursid Mohd Rais, Sharol Mahoolop, Zamil Ismail, Kasirin Kamiran, Ali Latif Taha dan Dr Rodah Sawang.

Katanya, lima calon pula akan bersaing bagi satu jawatan Naib Presiden kuota Cina, terdiri daripada penyandang Datuk Arthur Sen, Datuk Fredian Gan, Goon Thien Shang, Datuk Johnny Goh dan Ng Tze Sai.

Bagi jawatan Ahli Majlis Tertinggi, seramai 28 calon akan bertanding bagi tujuh kekosongan di bawah kuota Bumiputera Bukan Islam, manakala 23 calon bersaing untuk lima jawatan di bawah kuota Bumiputera Islam.

Bagi kuota Cina pula, seramai 15 calon layak bertanding bagi mengisi empat jawatan Ahli Majlis Tertinggi.

Julita berkata, tempoh penerimaan pencalonan berakhir pada 7 Ogos dan parti menerima rekod sebanyak 79 pencalonan bagi semua jawatan yang dipertandingkan, dengan lebih separuh daripada calon merupakan muka baharu.

Sementara itu, Dr Joachim berkata, jumlah pencalonan yang mencatatkan rekod baharu itu mencerminkan minat yang semakin meningkat dalam kalangan ahli untuk berkhidmat kepada parti.

“Ini merupakan petanda positif kepada proses peremajaan PBS,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi PBS di sini.

Beliau berkata, mesyuarat itu turut membincangkan persiapan Kongres PBS yang dijadual berlangsung pada September ini.

“Persiapan rapi amat penting bagi memastikan kongres berjalan lancar serta menjadi platform terbaik untuk memperkukuh perpaduan parti, memperbaharui komitmen terhadap perjuangan parti dan merangka hala tuju masa depannya demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

PKR Beri Cuti Sementara Kepada Nurul Izzah, Saifuddin Memangku Tugas Timbalan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular