HomeUtamaSukan tahunan sekolah pupuk semangat kesukanan, perpaduan dan cungkil bakat murid

Sukan tahunan sekolah pupuk semangat kesukanan, perpaduan dan cungkil bakat murid

Read Time:1 Minute, 29 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penganjuran sukan tahunan sekolah bukan sekadar medan mencungkil bakat dalam bidang sukan, malah menjadi platform penting untuk memupuk semangat kesukanan, perpaduan serta mengeratkan hubungan antara murid, guru dan ibu bapa.

Pengerusi Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) Sabah, Datuk Mohammad Arif Sakaran berkata, semangat kesukanan yang diterapkan melalui acara sukan mampu membentuk sahsiah murid selain mengukuhkan nilai kebersamaan dalam komuniti sekolah.

Beliau berkata, penglibatan ibu bapa dalam program sukan sekolah juga memainkan peranan penting dalam menyokong perkembangan murid, sekali gus mewujudkan kerjasama erat antara keluarga dan pihak sekolah.

“Hari ini kita merasmikan Sukan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan. Antara elemen yang penting ialah melihat pelajar-pelajar bersukan dengan penuh semangat, di samping memupuk hubungan yang lebih erat antara ibu bapa dan pihak sekolah.

“Bagi saya, semangat kesukanan amat penting untuk memupuk nilai kebersamaan dalam kalangan murid. Saya berharap pertandingan seperti ini menjadi pemangkin kepada mereka untuk terus aktif dalam bidang sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Sukan Olahraga Tahunan SK Sembulan, di Stadium Likas di sini pada Khamis.

Menurut beliau, penyertaan aktif dalam sukan mampu membina keyakinan diri, disiplin dan semangat berpasukan yang menjadi asas kepada pembentukan generasi berdaya saing.

Katanya, penganjuran sukan tahunan juga membuka ruang kepada murid yang berbakat untuk mengembangkan potensi mereka sehingga ke peringkat daerah dan negeri.

“Saya berharap ada dalam kalangan murid di sekolah ini yang akan mewakili sekolah ke peringkat daerah, seterusnya negeri pada masa akan datang. 

“Program seperti ini menjadi landasan awal untuk mencungkil bakat dan melahirkan atlet muda yang berpotensi,” katanya.

Beliau turut menggesa semua pihak, termasuk ibu bapa, guru dan komuniti setempat, agar terus memberikan sokongan terhadap aktiviti kokurikulum dan sukan demi melahirkan murid yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kecergasan fizikal. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Lima didakwa kemuka dokumen palsu tuntutan insentif PERKESO

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular