Oleh Normimie Diun
BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) disahkan meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, di sini, petang Khamis.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada jam 5.56 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai.
Katanya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 6.25 petang dan operasi berjaya dikawal pada jam 7 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam.
Menurutnya laporan awal daripada Komander Operasi mendapati ketiga-tiga mangsa yang juga anggota PDRM dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menggunakan penjolok besi untuk mengambil buah kelapa sebelum alat berkenaan terkena kabel elektrik.
“Orang awam dilaporkan bertindak awal memadam kebakaran kecil menggunakan dua unit alat pemadam api jenis serbuk sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pasukan bomba kemudian memasang sawar keselamatan dan menjalankan penilaian di lokasi, manakala Sabah Electricity berjaya memutuskan bekalan elektrik bagi memastikan kawasan kejadian selamat.
Selepas bekalan elektrik diputuskan, pasukan bomba bersama PDRM mengeluarkan mangsa sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketiga-tiga mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40; Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29; dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26, yang kesemuanya bertugas di Balai Polis Weston.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Beaufort dengan kerjasama PDRM dan Sabah Electricity.



