SANDAKAN: Beberapa perwakilan asing tiba di Sandakan pada Khamis bagi menghadiri Program Taklimat dan Tinjauan Keselamatan bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), sebagai usaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai pengurusan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone).
Antara negara yang menyertai program itu ialah Switzerland, Jerman, Itali, Slovakia, Amerika Syarikat, Finland, Belgium, Republik Czech, Austria serta wakil daripada Kesatuan Eropah.
Program berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainuddin Aman; Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman; serta Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos.
Sepanjang program itu, rombongan dijadualkan menghadiri sesi taklimat yang disampaikan oleh agensi-agensi keselamatan mengenai pengurusan keselamatan, situasi semasa serta langkah-langkah penguatkuasaan yang dilaksanakan di ESSZone.
Selain itu, mereka turut dijadual melawat beberapa lokasi strategik bagi meninjau sendiri pelaksanaan kawalan keselamatan di lapangan, termasuk kesiapsiagaan pasukan keselamatan dalam memastikan keamanan dan kestabilan di kawasan Pantai Timur Sabah.



