KOTA KINABALU: Peminjam Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah sekali lagi berpeluang menikmati insentif pembayaran balik yang lebih menarik menerusi pelaksanaan Program Rebat Budi Madani 2026 yang berlangsung dari 6 hingga 26 Ogos ini.
Program itu diperkenalkan sebagai inisiatif khas bagi menghargai peminjam yang komited melaksanakan pembayaran balik pinjaman pengajian, di samping menggalakkan budaya pembayaran yang lebih mampan demi memastikan kelestarian dana tajaan pendidikan Yayasan Sabah.
Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) dalam satu kenyataan memaklumkam, melalui program itu, peminjam ditawarkan kadar rebat mengikut tiga kategori dimana rebat sebanyak 30 peratus diberikan kepada peminjam dalam kategori Aktif Bayar yang ingin melunaskan keseluruhan baki pinjaman mereka.
Menurut KYS, bagi peminjam yang tidak berada dalam kategori Aktif Bayar tetapi mahu membuat penyelesaian penuh baki pinjaman, mereka layak menerima rebat sebanyak 25 peratus.
Sementara itu, peminjam yang meneruskan pembayaran secara ansuran biasa pula akan menikmati rebat sebanyak 20 peratus.
Menurut kenyataan itu lagi, pelaksanaan program seumpama itu pada tahun lalu berjaya memberi impak positif apabila merekodkan kutipan pembayaran balik pinjaman pengajian tertinggi dalam sejarah penubuhan yayasan, iaitu sebanyak RM8 juta.
Pemberian rebat itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada inisiatif sosial Kumpulan Yayasan Sabah untuk membantu meringankan beban kewangan peminjam, selain mengiktiraf mereka yang sentiasa konsisten mematuhi jadual pembayaran balik.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan program itu, Yayasan Sabah turut mengadakan siri jelajah dan membuka kaunter khas bagi memudahkan peminjam mendapatkan maklumat serta menyertai Program Rebat Budi Madani 2026.
Jelajah pertama diadakan di Foyer Bilik Kapalai dan Manukan, Aras 2, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 6 Ogos, sebelum diteruskan di Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu pada 8 Ogos.
Program itu kemudian diteruskan di Tapak Tamu Pekan Papar pada 15 dan 16 Ogos, sebelum siri jelajah terakhir berlangsung di Tapak Tamu Pekan Kota Belud pada 22 dan 23 Ogos.
Dalam perkembangan sama, KYS turut memperkenalkan Program Pengampunan CTOS sebagai langkah membantu peminjam yang telah disenaraikan dalam sistem CTOS akibat tunggakan pinjaman.
Melalui inisiatif itu, peminjam yang ingkar boleh memohon supaya nama mereka dikeluarkan daripada senarai CTOS dengan membuat pembayaran tunggakan dalam jumlah yang munasabah, tanpa perlu melunaskan keseluruhan tunggakan seperti sebelum ini.
Langkah berkenaan diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai peminjam memperbaiki rekod kewangan mereka, sekali gus memudahkan urusan mendapatkan kemudahan kredit pada masa hadapan.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut atau membuat pembayaran, peminjam boleh hadir ke Kaunter Pembayaran Balik Pinjaman Pengajian di Bahagian Pungutan Pinjaman Pengajian, Aras 26, Menara Tun Mustapha, Kompleks Ibu Pejabat Yayasan Sabah.
Maklumat lanjut mengenai Program Rebat Budi Madani 2026 dan Program Pengampunan CTOS juga boleh diperoleh melalui laman Facebook KYS-Kumpulan Yayasan Sabah, talian 011-33181088 atau e-mel [email protected].



