Oleh Normimie Diun
BEAUFORT: Tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) maut dipercayai akibat renjatan elektrik selepas galah besi yang digunakan untuk mengait buah kelapa terkena kabel elektrik dalam kejadian berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston di sini, petang Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, ketiga-tiga anggota yang bertugas di Balai Polis Weston sedang mengait buah kelapa menggunakan galah besi sepanjang kira-kira 29 kaki.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, selepas selesai mengait buah kelapa, mereka dipercayai cuba mengalihkan dan menurunkan galah berkenaan sebelum salah seorang daripada mangsa hilang keseimbangan.
“Akibatnya, galah besi itu terjatuh ke arah bertentangan pokok kelapa lalu terkena kabel elektrik utama, menyebabkan arus elektrik mengalir ke galah dan merenjat ketiga-tiga mangsa,” katanya ketika dihubungi Sabah Media.
Menurut Champin, keadaan permukaan tanah di lokasi kejadian adalah tanah gambut dan terdapat air bertakung, yang dipercayai meningkatkan risiko renjatan elektrik.
“Kejadian berlaku di kawasan luar Balai Polis Weston berhampiran Sekolah Kebangsaan Weston.
“Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai Chiu Teck Siong, 40, dari Sarawak; Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dari Kelantan; dan Muhammad Raimi Ismarubee, 26, dari Terengganu,” katanya.
Beliau berkata, jenazah semua mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat dan urusan dokumentasi sebelum dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing dengan diiringi pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.
Dalam pada itu, Champin turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias, Datuk Isnin Aliasnih; dan ADUN Lumadan, Datuk Ruslan Muharam yang hadir ke lokasi kejadian bagi memberikan sokongan moral serta menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sabah Electricity dan Klinik Kesihatan Weston atas bantuan yang diberikan dalam mengendalikan insiden berkenaan.
Tambah beliau lagi, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.



