KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Sabah memfailkan saman sivil melebihi RM2 bilion terhadap firma audit Ernst & Young PLT (EY), dengan mendakwa syarikat itu gagal melaksanakan tanggungjawab profesional ketika mengaudit penyata kewangan Sabah Development Bank Berhad (SDB) bagi tahun kewangan 2011 hingga 2022.
Tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur oleh Kerajaan Negeri Sabah, Ketua Menteri Sabah, Sabah Development Berhad dan SDB Corporation Sdn Bhd sebagai plaintif, manakala Ernst & Young PLT dinamakan sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa EY telah melanggar kewajipan berjaga-jaga (duty of care) ketika menjalankan audit berkanun ke atas penyata kewangan SDB, sekali gus menyebabkan kedudukan kewangan sebenar bank pembangunan milik kerajaan negeri itu tidak dapat dikesan lebih awal.
Menurut dokumen mahkamah yang dilihat media, SDB didakwa telah menjadi tidak solven selewat-lewatnya pada tahun kewangan 2018 apabila sebanyak 85.94 peratus daripada portfolio pinjamannya direkodkan sebagai pinjaman tidak berbayar (NPL).
Bagaimanapun, plaintif mendakwa EY terus mengeluarkan pendapat audit tanpa pengecualian bagi penyata kewangan tahun 2018 hingga 2022, sekali gus membolehkan SDB menerbitkan program bon bernilai RM3 bilion pada tahun 2021.
Plaintif turut mendakwa hanya mengetahui kedudukan kewangan sebenar SDB pada 2023, selepas semakan dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu bank itu.
Menurut tuntutan berkenaan, kegagalan yang didakwa berlaku telah menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan negeri dan pihak berkaitan, termasuk deposit tetap berjumlah RM650 juta, suntikan modal RM90 juta serta tambahan deposit tetap RM660 juta yang kemudiannya ditukarkan kepada saham keutamaan boleh tebus.
Selain itu, plaintif mendakwa masih menanggung kira-kira RM1 bilion liabiliti SDB yang dijadualkan perlu dibayar sehingga September 2029.
Dokumen mahkamah itu juga menyatakan Kerajaan Negeri Sabah telah membuat komitmen kewangan yang besar kepada SDB, termasuk mengeluarkan surat sokongan bagi program bon berjumlah RM7.5 bilion serta menyediakan deposit tetap melebihi RM1 bilion.
Plaintif mendakwa segala komitmen kewangan itu dibuat berdasarkan laporan audit EY yang menggambarkan kedudukan kewangan SDB berada dalam keadaan memuaskan.
Menurut pernyataan tuntutan, EY dilantik sebagai juruaudit SDB sejak 2011 sebelum tidak dilantik semula pada September 2024 dan digantikan oleh Forvis Mazars PLT sebagai juruaudit baharu bagi tahun kewangan 2024.
Semakan oleh lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDB pada 2023 turut didakwa menemui pelbagai kelemahan serius, termasuk jumlah pinjaman tidak berbayar yang dianggarkan mencecah kira-kira RM5 bilion atau hampir 70 peratus daripada keseluruhan portfolio pinjaman.
Plaintif juga mendakwa wujud amalan “ever-greening” pinjaman serta isu berkaitan penilaian aset sekuriti yang dipersoalkan, yang didakwa menyumbang kepada kegagalan mengenal pasti keadaan kewangan sebenar institusi berkenaan lebih awal.



