PUTATAN: Golongan pelajar hari ini wajar menguasai kemahiran teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), bagi menyesuaikan diri dengan perubahan landskap pendidikan semasa.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Ahmad Sah Sahari, berkata penguasaan teknologi dapat membantu pelajar mendapatkan maklumat dan bahan rujukan tambahan secara lebih pantas, tepat serta tersusun.
“Setiap pelajar perlu menerima perubahan teknologi terkini untuk mendapatkan rujukan tambahan dengan pantas dan tersusun melalui AI,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyaksikan penyampaian komputer riba kepada 18 pelajar sekolah menengah di sini, kelmarin.
Komputer riba berkenaan disumbangkan oleh Titijaya Land Bhd dan disampaikan wakil korporat syarikat itu, Dato Toisin Ganto, kepada 18 pelajar terpilih yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Ahmad Sah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergaulan anak-anak bagi memastikan mereka tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral.
Menurutnya, pendidikan merupakan aset paling bernilai kerana kekayaan yang dimiliki seseorang belum tentu dapat menjamin masa depan yang lebih baik.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan Titijaya Land atas sumbangan komputer riba berkenaan yang dapat membantu pelajar meningkatkan pembelajaran.
“Saya berharap pelajar yang menerima bantuan ini dapat memanfaatkannya sebaik mungkin untuk mengembangkan ilmu dan mencapai pendidikan lebih tinggi.
“Walaupun komputer riba bukan satu keperluan wajib dalam setiap peringkat pendidikan, pelajar harus bersyukur kerana ia merupakan alat bantu yang boleh digunakan untuk mencapai kecemerlangan,” katanya.



