TAWAU : Seorang pesakit yang menghidap tumor otak di Hospital Tawau menjalani prosedur Awake Craniotomy menerusi perkongsian kepakaran Universiti Malaysia Sabah (UMS) dalam bidang neuroanestesiologi.
Prosedur pembiusan otak secara sedar itu dilaksanakan menerusi Program Knowledge Transfer Programme (KTP) yang melibatkan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS sebagai sebahagian usaha memperluaskan akses kepada latihan klinikal berimpak tinggi di Pantai Timur Sabah.
Pensyarah Kanan FPSK yang juga pakar Neuroanestesiologi dan Neurokritikal FPSK serta Hospital UMS (HUMS), Dr Yeap Boon Tat, terlibat mengetuai perkongsian kepakaran menerusi program berkenaan.
FPSK dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Yeap berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan anestesia bagi prosedur Awake Craniotomy yang dijalankan terhadap pesakit berkenaan.

Menurut kenyataan itu, Awake Craniotomy ialah teknik pembiusan yang membolehkan pesakit kekal sedar pada fasa tertentu ketika pembedahan otak bagi membolehkan pakar bedah memantau fungsi neurologi secara langsung.
“Pendekatan ini memerlukan kerjasama yang amat rapat antara pakar bius, pakar bedah saraf dan seluruh pasukan multidisiplin bagi memastikan keselamatan pesakit serta mencapai hasil pembedahan yang optimum,” menurut kenyataan itu.
Pelaksanaan prosedur tersebut turut menjadi platform perkongsian kepakaran klinikal antara UMS dengan fasiliti kesihatan di Pantai Timur Sabah, khususnya dalam bidang neuroanestesiologi dan pembedahan saraf.
Program KTP berkenaan bukan sahaja memberi pendedahan kepada teknologi dan teknik terkini dalam bidang neuroanestesiologi, malah memperkukuhkan jaringan kerjasama antara UMS dengan fasiliti kesihatan di Pantai Timur Sabah.
Usaha itu juga dilihat dapat menyumbang kepada peningkatan keupayaan perkhidmatan pembedahan saraf di Sabah menerusi pemindahan ilmu serta perkongsian pengalaman dalam pengurusan prosedur klinikal berimpak tinggi.
UMS terus komited memainkan peranan dalam pemindahan ilmu dan pembangunan modal insan menerusi kolaborasi strategik antara institusi akademik dengan penyedia perkhidmatan kesihatan.
Inisiatif berkenaan selaras dengan aspirasi UMS untuk memperkukuhkan ekosistem kesihatan negeri menerusi kecemerlangan akademik, penyelidikan dan inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat, sejajar dengan aspirasi universiti sebagai “The Brain of Borneo”.



