HomeUtamaAkaun Keldai: Jurujual dipenjara tiga tahun

Akaun Keldai: Jurujual dipenjara tiga tahun

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terbabit secara tidak langsung dalam transaksi kemasukan wang RM1,000 ke akaun bank miliknya tanpa sebab yang sah.

Hakim Hurman Hussain menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Joo Hong, 49.

Mengikut pertuduhan, Tan tanpa sebab yang sah telah didapati secara tidak langsung terlibat dalam transaksi kemasukan wang berjumlah RM1,000 darpada seorang lelaki ke dalam akaun Maybank miliknya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun atau denda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM150,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, mangsa membuat laporan polis berkaitan skim pinjaman wang tidak berlesen selepas membuat pinjaman daripada beberapa ejen tidak dikenali melalui WhatsApp sekitar November 2024.

Jumlah pinjaman yang diperolehi oleh pengadu adalah RM116,400.00. Pengadu kemudiannya diarahkan untuk membuat pembayaran semula secara berkala yang melebihi daripada jumlah yang dipinjamnya.

Pengadu telah membuat pembayaran semula berjumlah RM113,450 kepada 12 akaun bank berbeza.

Bagaimanapun, ejen pinjaman berkenaan mengugut pengadu supaya menjelaskan baki pinjaman berjumlah RM177,400 lagi.

Pengadu turut diugut bahawa gambarnya bersama keluarga akan diviralkan di media sosial sekiranya gagal menjelaskan bayaran berkenaan dan diberitahu bahawa dia akan dilawat di rumah kediamannya bagi tujuan menagih baki bayaran.

Siasatan lanjut mendapati Tan merupakan salah seorang pemilik akaun yang menerima bayaran daripada mangsa bagi tujuan pinjaman berkenaan. Tan kemudian ditangkap dan ketika siasatan, gagal memberikan penjelasan bagaimana wang berkenaan boleh masuk ke dalam akaun banknya.

Semasa rayuan, Tan yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan dan memaklumkan mahkamah bahawa dia berasal dari Pulau Pinang.

Timbalan Pendakwa Raya Bryan Francis dalam hujahannya berkata, Seksyen 424C Kanun Keseksaan diperkenalkan bagi menangani penggunaan dan transaksi tidak sah melibatkan instrumen pembayaran dan akaun kewangan, khususnya susulan peningkatan aktiviti “akaun keldai” oleh sindiket jenayah.

Katanya, kesalahan seumpama itu semakin berleluasa dan meningkat di Malaysia, justeru mesej tegas diperlukan sebagai langkah pencegahan untuk membendung kesalahan berkenaan.

Pendakwaan memohon hukuman berat yang bersifat pencegahan dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya serta mesej kepada orang lain.

RELATED ARTICLES
Utama

UPKO sertai GRS, perkukuh kestabilan politik Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular