SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 (W4) Sabah merampas 11.06 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine bernilai lebih RM550,000 dalam operasi di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi itu, pasukan operasi PPM W4 Sabah mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan ketika menjalankan rondaan berdasarkan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
Komander PPM W4 Sabah, Asisten Komisioner Polis Ahmad Amri Abd Rahman berkata, ketika pasukan cuba menghampiri bot berkenaan, seorang lelaki yang berada di atas bot bertindak terjun ke laut sebelum melarikan diri ke kawasan daratan.
“Usaha mengesan suspek telah dijalankan, namun lelaki berkenaan gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap bot yang ditinggalkan itu menemukan 11 bungkusan yang mengandungi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu.
“Kesemua bungkusan berkenaan mempunyai anggaran berat kasar 11.06 kilogram dengan nilai dadah yang dirampas dianggarkan lebih RM550,000.
“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot pula dianggarkan bernilai lebih RM578,000,” katanya.
Kes berkenaan kini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ahmad Amri berkata, bagi tahun ini, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan sebanyak 15 kes di bawah akta berkenaan yang melibatkan 24 tangkapan.
Katanya, jumlah nilai keseluruhan rampasan bagi kes berkenaan melebihi RM718,000.
Beliau berkata, PPM W4 Sabah akan terus memperhebatkan aktiviti risikan dan rondaan secara bersepadu bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah.
“Kerjasama serta tindakan berterusan ini penting bagi memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah dapat dibanteras daripada terus berleluasa, sekali gus melindungi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya.



