KOTA KINABALU: Simposium Kehakiman dan Perundangan menjadi wadah menghimpunkan pengamal serta pakar perundangan bagi berkongsi pandangan dan pengalaman, selain meneroka pendekatan terbaik dalam memperkukuh kedudukan perundangan Syariah di Malaysia.
Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain berkata, simposium itu akan menghimpunkan pelbagai pihak termasuk hakim, pendakwa, peguam, ahli akademik serta pemegang taruh berkaitan.
Katanya, penglibatan pelbagai pihak penting bagi membolehkan pandangan dan pengalaman daripada pelbagai perspektif digabungkan, khususnya berkaitan pelaksanaan serta perkembangan perundangan Syariah di negara ini.

“Penganjuran simposium ini merupakan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman bagi membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk duduk bersama, berbincang dan mencari pendekatan yang dapat mempertingkatkan kedudukan perundangan Syariah.
“Kami amat berbesar hati kerana Tun Musa sendiri telah memberikan banyak idea dan kaedah yang harus kita terokai untuk mencapai hasrat meletakkan perundangan itu di tempat yang sewajarnya dan selayaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Tun Musa di Istana Seri Kinabalu, di sini.
Menurut Mohd Amran, kunjungan itu turut bertujuan menjemput Tun Musa untuk menyampaikan perutusan dan seterusnya menyempurnakan perasmian Simposium Kehakiman dan Perundangan yang dijadualkan berlangsung pada 12 Ogos.
Dalam pada itu, beliau berkata Sabah turut menunjukkan komitmen dalam memperkukuh kedudukan perundangan Syariah menerusi kelulusan beberapa enakmen berkaitan.
Katanya, Enakmen Pengangkatan Anak Orang Islam telah diluluskan dan berkuat kuasa pada Disember 2024, manakala Enakmen Pewarisan Orang Islam pula diluluskan Dewan Undangan Negeri Sabah pada tahun ini.
“Ini adalah rentetan yang menunjukkan komitmen yang tinggi dan turut membuka ruang kepada kita untuk terus menerokai bidang-bidang yang boleh meletakkan perundangan Syariah itu atas landasan yang betul dan dihormati,” katanya.
Mohd Amran berkata, lebih 600 peserta dijangka menyertai simposium berkenaan, dengan jumlah itu dijangka terus bertambah menerusi penglibatan pelajar institusi pengajian tinggi, khususnya mereka yang mengikuti bidang perundangan.
Katanya, penyertaan daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan generasi muda amat penting bagi memberi pendedahan dan memperluas kefahaman mengenai kedudukan serta perkembangan perundangan Syariah dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.



