HomeUtamaKelestarian alam dan pendigitalan perlu jadi budaya sekolah - Mohammad Ghazali

Kelestarian alam dan pendigitalan perlu jadi budaya sekolah – Mohammad Ghazali

Read Time:1 Minute, 25 Second

TUARAN: Program kelestarian alam sekitar dan pendigitalan pendidikan perlu dijadikan budaya berterusan dalam kalangan warga sekolah, bukan sekadar dilaksanakan ketika sesuatu program berlangsung.

Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji berkata, pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya turut dibentuk melalui persekitaran sekolah yang bersih, sihat, selamat dan lestari.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Program SK Tomis Eco Lestari (STEL) dan Go DELIMATo, selain Ceramah Motivasi Keibubapaan dan Pengurusan PIBG Berkesan SK Tomis 2026 di Dewan Kuriou, Sekolah Kebangsaan (SK) Tomis, pada Rabu.

Menurutnya, STEL yang merangkumi aspek kebersihan, amalan 3R, pencegahan denggi dan penghijauan sekolah mampu membentuk nilai tanggungjawab, disiplin serta kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan murid.

Katanya, Go DELIMATo pula merupakan inisiatif pendigitalan bagi memperkukuh kerjasama antara sekolah, guru, murid dan ibu bapa menerusi penggunaan platform DELIMa.

“Keberkesanan inisiatif ini bukan sekadar diukur melalui jumlah akaun yang diaktifkan, tetapi sejauh mana platform itu dimanfaatkan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran murid dan mengeratkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa,” katanya.

Ghazali turut menekankan peranan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai jambatan yang menyatukan sekolah, ibu bapa dan komuniti, selain perlu diurus secara telus, terancang serta berfokus kepada kepentingan murid.

“Sekolah tidak mampu bergerak sendirian. Ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta perlu menjadi rakan strategik yang saling melengkapi,” katanya.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raflee Mukaddim; Guru Besar SK Tomis, Marlina Abd Kayum; Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah, Mohd Azrai Jaafar serta Yang Dipertua PIBG SK Tomis, Sayri Duin.

Program itu turut menghimpunkan wakil PIBG daripada 10 sekolah di Zon Nabalu, selain pemimpin komuniti serta wakil agensi kerajaan dan swasta.

RELATED ARTICLES
Utama

Imigresen Hadkan Tempoh Sah Pasport Maksimum 10 tahun

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular