Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya yang berusia 14 tahun.
Tertuduh berusia 64 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Marlina Ibrahim.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kuarters di Penampang, pada Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 15 September depan untuk sebutan lanjut kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin tempatan.
Tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis sekali sebulan dan tidak mengganggu saksi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Dk Afiqah Alya Ak Johari @ Pg Johari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



